Umno Sabah diberi autonomi jika berlaku PRK Kimanis


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, beliau akan bertemu pucuk pimpinan Umno Sabah pada hujung minggu ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2019.

UMNO Sabah diberi kuasa untuk menguruskan hal ehwal pilihan raya kecil (PRK) Kimanis sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan ia perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan penyandangnya, Anifah Aman.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, parti itu memberikan kuasa autonomi kepada Umno Sabah untuk mengemukakan syor kepada Umno Pusat, berkaitan langkah yang perlu diambil parti itu, sekiranya PRK itu berlaku.

“Baru diputus Mahkamah Pilihan Raya, mungkin akan ada rayuan, ia belum keputusan muktamad, di pihak kita Umno, bila ada mana-mana pilihan raya, kita duduk dan bincang secara bersama, atur strategi, itu belum dilakukan sebab belum ada keputusan muktamad.

“Kita beri autonomi kepada Umno Sabah, Umno Sabah diberikan keutamaan untuk kemuka syor apa langkah patut kita lakukan. Kita beri ruang kepada Umno Sabah,” kata Annuar, ketika sidang media di Pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau akan bertemu pucuk pimpinan Umno Sabah pada hujung minggu ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Sudah tentu kerjasama Umno dan PAS akan menjadi keutamaan, namun itu belum dilakukan, saya akan turun ke Sabah hujung minggu ini, pertemuan bersam Umno Sabah pada 25 Ogos, berdasarkan arahan presiden semalam untuk bertemu pimpinan Umno Sabah.

“Pada 26 Ogos saya akan bertemu Umno Kimanis, untuk buat tinjauan awal. Kalau betul berlaku PRK, presiden Umno dan presiden PAS akan duduk bersama,” kata Annuar lagi.

Mahkamah membatalkan kemenangan Anifah selepas pemeriksaan semula ke atas peti undi mendapati terdapat unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Hakim Lee Heng Cheong berkata, penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah satu kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu, justeru kemenangan tersebut terbatal.

Anifah yang merupakan bekas menteri luar negeri, memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 berbanding 11,786 undi yang diraih oleh calon Parti Warisan Sabah Karim Bujang.

Pada September tahun lalu, Anifah meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua Umno Bahagian Kimanis dan ahli Umno berkuat kuasa serta-merta. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen