Pakatan serius dapatkan kembali hak Sabah, kata Shafie


Jason Santos

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berkata, sebelum ini ada pihak yang berjanji kepada Sabah tetapi tidak ditunaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2019.

TIDAK seperti kerajaan terdahulu, kerajaan Persekutuan kini dilihat serius mahu mendapatkan kembali hak Sabah, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Pejabat Perdana Menteri semalam mengenai pemulihan tujuh perkara yang dibincangkan dalam kalangan jawatankuasa yang mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963.

“Kami berterima kasih walaupun masih ada yang perlu ditapis. Inilah yang kami minta selama ini.

“Ada pihak yang sebelum ini berjanji kepada kami banyak perkara ketika menjadi pemerintah tetapi tidak ditunaikan,” katanya merujuk kepada Barisan Nasional yang menjadi pemerintah terdahulu.

Shafie berkata terdapat 40 perkara yang dibawa oleh kerajaan Sabah dan Sarawak kepada jawatankuasa Persekutuan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tetapi hanya tujuh isu telah diselesaikan pada 23 Julai tahun ini.

Tujuh isu yang telah mendapat persetujuan bersama iaitu tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan; pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di Sarawak; pelaksanaan kerja raya persekutuan dan negeri; tenaga buruh; kuasa negeri ke atas isu kesihatan; pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan; serta isu pertanian dan perhutanan.

Apabila ditanya sama ada terdapat sebarang kerangka untuk penyerahan Shafie berkata, Persekutuan telah memberikannya kepada Sabah, tetapi masih ada butiran yang perlu diselesaikan.

Sebagai contoh katanya masalah hutang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Tenaga Nasional Bhd berjumlah RM1 bilion. 

“Kami telah melantik sebuah firma untuk menangani perkara ini,” katanya.   

Shafie juga berkata, jawatankuasa itu akan terus membincangkan dan menyelesaikan isu-isu yang tinggal termasuk royalti minyak dan 40% geran khas tahunan untuk Sabah yang akan mengambil masa untuk diselesaikan. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen