Tawaran Annuar Musa satu langkah terdesak, kata pengguna media sosial 


Yap Pik Kuan

Usul pindaan RUU355 adalah untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk mengenakan hukuman lebih tinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2017.

PENGGUNA Facebook pantas menolak tawaran Annuar Musa untuk bekerjasama dengan PAS bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai RUU355 dan menyifatkannya sebagai omong kosong, untuk sekali lagi menipu parti Islam itu memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Ketua Penerangan Umno Kelantan pada Sabtu berkata Umno sedia untuk berbincang secara terbuka dengan PAS berhubung isu itu. Katanya kedua-dua partu perlu “mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam” terutamanya mereka di Kelantan.

Terdapat segelintir pengguna Facebook menyifatkan tawaran tu sebagai langkah terdesak.

Lee Chun Hwa dan Harris memanggilnya sebagai langkah terdesak.

“Nampaknya Umno is desperate (Nampaknya Umno semakin terdesak),” tulis seorang lagi pengguna Francis Ting. 

Idris Daud berkata pindaan RUUU355 tidak akan menjejaskan apa-apa kerana pembentangan usul dan debat usul itu sering ditangguhkan.

“Lagi sekali PAS kena tipu dengan Annuar Musa. RUU355 takkan jadi hudud tak jadi apa pun cakap kosong saja. Yang nak bentang asyik tangguh saja. Dapat duit habis lupa apa erti Islam sebenar.”

Rosihan Amri menyifatkan tawaran Annuar sebagai kisah dongeng dan berkata, “Berapa kali mau kelentong daaa???”

Pada April, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjadi ahli Parlimen pembangkang pertama yang membuat usul persendirian di Dewan Rakyat.

Usul itu adalah bagi meminda RUU355 untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk mengenakan hukuman lebih tinggi iaitu penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan hukuman rotan 100 sebatan.

PAS bagaimanapun masih belum memberi apa-apa maklum balas berhubung tawaran Annuar itu namun pengguna Facebook menjangkakan parti Islam itu akan menerima tawaran berkenaan.

Tetapi ramai yang menjangka PAS akan ditipu oleh Umno.

“PAS akan ditipu..lagi..lagi dan lagi..,” kata Nasir Yahya.

“Nak tipu lagi…PAS…adakah kamu sangaaaatt…bodoh..?? tulis Damian Tuan.

Malah ada pengguna Facebook yang menyatakan Umno tidak lagi boleh dipercayai sehingga hari kiamat. 

“Bilalah PAS tidak akan pernah belajar jangan percayakan Umno?” kata David F T Chong. 

“Umno tak habis-habis menipu…Kalau PAS percaya juga dengan Umno tak tahu lah..sampai kiamat Umno ni tak boleh dipercayai,” kata Sofian Abdullah.

Sementara itu, pengguna Walid Aqeel berkata Barisan Nasional sepatutnya meminda usul berkenaan kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi agama dan bukan parti pembangkang seperti PAS. 

“Tak payahlah bantu, tiada istilah bantu PAS dalam meminda RUU355, pemerkasaan mahkamah syariah itu bukan tugas pembangkang macam PAS pun, itu tugas BN yang sedang menguasai kerajaan sekarang dan bertanggungjawab menjaga agama dan keadilan untuk rakyat, pindalah RUU355 itu sendiri. Iangat peranan masing-masing. Ini YB tidak tahu apa yang dia cakap..”.– 8 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen