UMNO menafikan “cuci tangan” dan tidak membantu kakitangan Kumpulan Utusan Melayu Berhad, syarikat penerbit akhbar Utusan Malaysia yang pernah menjadi lidah rasmi parti itu, kata Setiausaha Agung parti Annuar Musa.
Umno sebaliknya sedia membantu kebajikan kakitangan Utusan sekiranya kerajaan menyahbekukan akaun parti itu susulan siasatan pihak berkuasa selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Kalau esok akaun tidak dibekukan, kita ada 200 juta ringgit, kita boleh bantu kebajikan kakitangan. Kita sedang fikir apa yang boleh kita bantu.
“Tak betul kata Umno cuci tangan, Umno sentiasa membantu Utusan.
“Masalah dalam Utusan ini bukan sehari dua, mereka sudah lama ada masalah,” kata Annuar, dalam satu sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Umno juga sejak sekian lama membantu syarikat itu, ketika mereka memerintah.
“Kalau kerajaan nyahbeku akaun, kami boleh bantu Utusan. Wang tunai dan akaun dibekukan lebih setahun dan jadikan Umno sesak, kalau tidak kami akan boleh bantu Utusan dengan lebih baik,” katanya lagi.
Annuar berkata, Umno juga tidak lagi mempunyai pegangan saham yang besar dalam Utusan dan tidak lagi mencampuri urusan perjalanan syarikat penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! itu.
“Bermula tahun ini Umno memutuskan untuk melepaskan pegangan blok saham yang besar dan pada masa ini Umno tidak lagi mempunyai pegangan blok saham yang besar, kecuali peratusan kecil saham.
“Masalah dalam Utusan hari ini adalah masalah perniagaan, bukan masalah pokitik,” katanya.
Parti itu juga katanya akan terus mencari jalan untuk membantu kakitangan syarikat berkenaan.
“Kami akan membantu Utusan dalam mana-mana cara yang perlu, kami ada membantu Utusan, kami bertemu pihak pengurusan, berbincang dan cuba fahami apa permasalahannya, dan kami lihat kemungkinan mana yang boleh kami bantu,” kata Annuar lagi.
Bekas presiden Umno Najib Razak melalui Facebook berkata parti itu tidak mampu untuk membantu Utusan disebabkan pembekuan akaunnya.
Disebabkan tindakan itu, bekas perdana menteri itu berkata, Utusan menjadi mangsa kerajaan Pakatan Harapan.
“Namun, kerana penindasan politik mereka telah mengeluarkan saman sivil untuk terus membeku dana tersebut untuk menyusahkan Umno dan saya, Utusan turut menjadi mangsa.
“Kalau kerajaan PH hentikan arahan membeku akaun Umno dan mengembalikan dana yang mereka sita secara haram hari ini, esok kita akan tolong Utusan,” kata Najib.
Namun katanya, perkara itu tidak akan berlaku kerana kerajaan PH tidak mempedulikan nasib kakitangan Utusan.
“Tetapi usahlah nak idamkan kerajaan PH akan bertindak adil. Mereka tak akan peduli.
“Utusan nak jual aset untuk menyelesaikan masalah aliran tunai, kerajaan PH pun lambat untuk meluluskan.
“Jangan harap kerajaan PH akan membantu akhbar paling lama di Malaysia ini,” katanya yang juga ahli Parlimen Pekan.
Kakitangan Utusan melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.
Sementara itu, saham Utusan di Bursa Malaysia yang ditutup pada 0.11 sen semalam, dibuka pada 0.09 sen hari ini.
Setakat 11 pagi tadi, nilainya merosot kepada 0.075 sen, yang terendah dalam masa sekurang-kurangnya lima tahun berdasarkan rekod di Bursa Malaysia. – 20 Ogos, 2019.
Komen