Identiti 3 mangsa rentung dalam kemalangan belum dikenal pasti 


POLIS masih belum dapat mengenal pasti identiti tiga mangsa yang ditemukan rentung dalam kemalangan berhampiran stesen minyak di pekan Mengkuang, Triang, Bera dekat Temerloh, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata setakat ini, identiti mereka tidak dapat dikenal pasti kerana dokumen pengenalan diri mereka hangus dalam kemalangan itu.

“Selain itu, kereta Proton Wira dipercayai warna biru yang dinaiki mereka juga tidak dapat dipastikan pemiliknya kerana turut musnah keseluruhan dalam kebakaran itu.

“Sehubungan itu, kita minta sesiapa yang ada kehilangan anggota keluarga untuk ke balai berhampiran bagi membantu siasatan dalam kes ini,” katanya semasa dihubungi di Temerloh, hari ini.

Kamarulzaman berkata kemalangan di kilometer 43 Jalan Temerloh-Bahau di Bera, itu dipercayai berlaku pada 6.15 pagi, melibatkan kereta tersebut dengan dua buah lori.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dari Triang menuju ke Kemayan, Bera terbabas dan melanggar lori jenis Mitsubishi yang berada di laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lagi lori jenis Hicom berada di belakang lori pertama.

“Kereta itu dipercayai hilang kawalan dan berpusing akibat kesan kemalangan sebelum terbakar,” katanya.

Kedua-dua lori itu dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian hadapan akibat kemalangan tersebut.

Kamarulzaman berkata pemandu kedua-dua lori yang berusia 41 dan 48 tahun bagaimanapun tidak cedera, manakala kelindan lori Hicom yang berusia 24 tahun cedera ringan di kaki dan menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berhampiran.

Kamarulzaman berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama, 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen