Pemimpin Sabah, Sarawak selar Umno kerana bangkitkan lagi isu RUU355 


Bede Hong Jason Santos

Isu pindaan RUU355 menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan parti politik di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2017.

UMNO kini terdesak dan cuba memainkan isu kaum dan agama sekali lagi, kata pemimpin Sabah selepas Ketua Penerangan Umno Annuar Musa membuat kenyataan bahawa Barisan Nasional sedia bantu PAS untuk meminda perundangan Islam yang lebih ketat. 

Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, tidak keseorangan dalam menyatakan bantahannya terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai RUU355. 

Di Sarawak, parti komponen BN sekali lagi mengulangi bantahan mereka untuk meminda hukuman Islam yang lebih ketat. 

Dalam ceramah di Bachok, Kelantan semalam, Annuar memberitahu pemberita bahawa Umno “mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam” berhubung RUU355.

Annuar berkata, menerusi konsep “ta’awun” (kerjasama) dengan PAS, banyak perkara yang boleh dicapai, termasuk pindaan RUU355. 

“Umno cuba memainkan isu kaum dan agama lagi. Umno kini dalam situasi terdesak dan cuba memainkan isu yang bahaya,” kata Wong kepada The Malaysian Insight. 

“Ia sangat tidak bertanggungjawab dengan menyokong pindaan undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya ini berlaku, ia akan memecahbelahkan rakyat Malaysia. 

“Kami berharap agar rakyat Malaysia boleh berfikir untuk menolak rancangan Umno.”

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Jemut Masing berkata pendirian Parti Rakyat Sarawak berhubung RUU355 masih sama - mereka menentangnya. 

Masing berkata parti komponen BN negeri, yang memegang enam kerusi Parlimen itu, akan mengulas lebih lanjut selepas Majlis Tertinggi Umno menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu. 

Masing sebelum ini mengarahkan ahli Parlimennya menyokong untuk menolak usul berkenaan yang akan dibentangkan di Parlimen, dan menambah Malaysia tidak boleh memiliki dua sistem perundangan untuk mentadbir rakyat. 

“Hudud tidak termasuk dalam perjanjian ketika kita tubuhkan Persekutuan. Ia tiada dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Masing. 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membentangkan kepada kerajaan untuk meminda RUU355 melalui usul persendirian di Dewan Rakyat pada April. 

Hadi mahu kerajaan meningkatkan hukuman penjara dalam bidang kuasa jenayah mahkamah syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan hukuman rotan 100 sebatan.

Speaker Pandikar Amin Mulia bagaimanapun tidak membenarkan perbahasan berhubung usul itu dan menamatkan sidang dewan selepas pembentangan usul kedua oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Michael Tiang mengingatkan Annuar bahawa melalui kekuatan dan kesepaduan bantahan daripada BN Sarawak yang membawa kepada BN tidak membantu membentangkan usul RUU355. 

“Kenyataannya itu tidak akan membatalkan keputusan sebulat suara BN yang dibuat pada bulan Mac bahawa kerajaan tidak akan membentangkan usul itu di Parlimen, kata Tiang yang juga pengerusi cawangan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Palawan.

“Keputusan sebulat suara itu adalah berdasarkan konsensus umum..bahawa BN menjadi kerajaan hari ini, bertanggungjawab untuk memastikan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan bebas daripada krisis perlembagaan atau kesangsian bersama,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Tambah Tiang, kepentingan politik mana-mana individu dari parti komponen tidak boleh melangkaui prinsip dan semangat BN. 

“Dengan prinsip inilah BN mendapat kepercayaan rakyat dari semua kaum untuk memrintah negara sejak empat dekad lalu,” katanya. – 8 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen