PENDAKWAH kontroversi Dr Zakir Naik disoal lebih 10 jam di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman hari ini.
Beliau meninggalkan Bukit Aman pada jam 1.30 pagi tadi selepas ke sana pada jam 3 petang semalam.
Peguam Zakir, Akhberdin Abdul Kader memberitahu wartawan, pendakwah itu akan mengeluarkan kenyataan tetapi media meninggalkan ibu pejabat polis selepas tiada kelibat kedua-duanya.
Ini merupakan soal siasat kali kedua terhadap beliau berkaitan kenyataan yang dibuat di Kota Baru, Kelantan, dua minggu lalu.
Kali pertama beliau dipanggil polis pada Jumaat berhubung perkara yang sama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata polis mula mengambil kenyataannya pada pukul 3.15 petang, sambil menambah Zakir ditemani oleh peguamnya.
Huzir berkata rekod kenyataannya dihentikan sementara untuk sembahyang Maghrib tetapi diteruskan selepas itu.
Zakir berdepan masalah undang-undang berhubung ucapannya di Kota Baru apabila didakwa menghina rakyat Malaysia beragama Hindu dan kaum Cina.
Beliau didakwa berkata, penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Seterusnya beliau berkata jika terpaksa kembali ke India, seperti yang dituntut oleh beberapa rakyat Malaysia, maka orang Cina Malaysia, yang digelarnya sebagai “tetamu lama”, juga harus “kembali” ke negara asal mereka.
Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam, yang boleh dihukum sehingga dua tahun penjara, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Setakat ini, tujuh negeri - Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak - menghalang pendakwah kelahiran Mumbai itu daripada berucap di depan umum.
Lebih 110 laporan polis dibuat terhadap Zakir atas kenyataannya di Kelantan.
Zakir juga mengeluarkan surat tuntutan melalui peguamnya kepada beberapa ahli politik dan individu yang mengkritik kenyataannya.
Notis tuntutan dihantar semalam kepada tiga ahli politik dan bekas duta kerana didakwanya mengeluarkan fitnah dalam kenyataan dan artikel mereka.
Zakir mahu keempat-empat mereka memohon maaf dan menawarkan jumlah penyelesaian yang munasabah dalam tempoh 48 jam atau berisiko disaman kerana fitnah.
Notis dihantar kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Anggota Dewan Undangan Bagan Dalam, Satees Muniandy - kesemuanya ahli Parlimen DAP - dan bekas duta Dennis J. Ignatius.
Zakir dikehendaki di India atas tuduhan pengubahan wang haram dan keganasan. India sudah meminta beliau diekstradisi tetapi Malaysia menolaknya kerana bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil di negara asalnya.
Dr Mahathir, yang sebelum ini beberapa kali mempertahankan ulama Islam itu, tidak berdiam diri apabila pada Ahad berkata Zakir keterlaluan dengan ulasan perkaumannya baru-baru ini.
“Saya tidak tahu siapa yang memberinya status penduduk tetap tetapi beliau perlu jauhi politik. Beliau boleh berdakwah, menyebarkan Islam dan kita tidak akan menyekatnya.
“Tetapi beliau tidak boleh bercakap tentang politik. Meminta orang Cina dan India pulang adalah politik. Jelas beliau mencetuskan sentimen perkauman dan biar polis siasat (isu ini),” kata perdana menteri. – 20 Ogos, 2019.
Komen