Polis rampas dadah RM670 juta termasuk kokain di Shah Alam


Kalidevi Mogan Kumarappa

Serbuan dilakukan oleh Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2019.

POLIS merampas 500 kilogram ketamin dan 3.23 tan kokain bernilai kira-kira RM670 juta dalam serbuan di dua premis perniagaan di Puncak Alam dan Seksyen U5, Shah Alam, semalam, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan rampasan dadah berkenaan adalah yang terbesar pernah direkodkan di Malaysia.

Serbuan dilakukan oleh Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kata sumber.

Menurut sumber, operasi itu adalah hasil maklumat risikan dan intipan sejak awal bulan ini ke atas premis yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah.

“Dalam serbuan pertama di Puncak Alam kira-kira jam 4.30 pagi semalam, empat lelaki tempatan bersama sembilan warga asing ditahan, seterusnya membawa kepada penemuan 11 guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 500 kilogram.

“Susulan itu, sebuah rumah kedai di Seksyen U5, Shah Alam diserbu pada jam 9.20 malam,” katanya.

Menurut sumber, penggeledahan di lokasi kedua membawa kepada penemuan dan rampasan 3,230 ketulan mampat mengandungi serbuk putih disyaki kokain yang keseluruhannya dianggarkan seberat 3.23 tan.

“Kesemua suspek dan barang kes kemudian dibawa ke pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis juga menyiasat kemungkinan sindiket berkenaan menjadikan Malaysia sebagai transit kerana dadah jenis kokain tidak popular berbanding syabu dan ketamin.

“Kokain berasal dari Amerika Selatan mendapat permintaan tinggi dari sindiket di negara jiran dan harganya menjangkau ratusan ribu ringgit sekilogram,” kata sumber.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen