BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak menafikan tandatangan pada dokumen akaun dan transaksi bank adalah miliknya, pegawai penyiasat agensi anti rasuah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain berkata tandatangan Najib tertera pada dokumen termasuklah surat arahan meluluskan transaksi bernilai berjuta ringgit bagi akaun peribadi AmBank.
“Kesemua dokumen yang ditunjukkan pada Najib (semasa disoal siasat SPRM) dan beliau mengesahkan tandatangan adalah miliknya. Beliau tak nafikan,” kata Rosli.
Tambahnya, bekas perdana menteri itu disoal siasat tiga kali iaitu pada 5 Disember 2015 serta 22 Mei dan 24 Mei 2018.
Peguam bela sebelum ini berkata bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil memalsukan tandatangan Najib untuk menipu entiti berkaitan kerajaan itu.
Ketua pasukan peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah kemudian membantah dan berkata keterangan Rosli adalah keterangan dengar cakap tidak boleh diterima.
“Kami mahu ia direkodkan bahawa apa yang dikatakan oleh saksi adalah keterangan dengar cakap,” Shafee memberitahu mahkamah yang dipengerusikan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 19 Ogos, 2019.
Komen