SPRM saran Adun, exco juga isytihar harta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua SPRM Latheefa Koya bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Ogos, 2019.

PENGISYTIHARAN harta tidak hanya perlu dilakukan ahli Parlimen, tetapi semua pemimpin termasuklah Adun dan exco kerajaan negeri wajar melakukannya, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya hari ini.

Jelasnya, tindakan itu wajar kerana ada antara mereka mempunyai akses kepada dana awam yang banyak terutama di negeri-negeri kaya. 

“Contohnya, Selangor antara negeri terkaya di Malaysia. Di sini, ahli majlis juga disarankan untuk mengisytiharkan harta masing-masing kerana mereka juga mempunyai akses kepada dana awam.

“Ia bagi mengelak timbul tohmahan salah guna dana di kemudian hari,” katanya di Majlis Ikrar Bebas Rasuah bersama Menteri Besar Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan Selangor menggalakkan Adun mereka mengisytiharkan harta seperti ahli Parlimen.

“Ini apa yang SPRM seru kepada pihak kerajaan negeri.

“Jadi terpulang kepada pihak kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan sama ada semua Adun Selangor telah mengisytiharkan harta mereka.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang turut hadir pada sidang media itu, bagaimanapun, berkata bahawa pihaknya sedia berbincang isu itu dan merangka prosedur sekiranya ada keperluan.

“Kita sedia merangka dan membincangkannya. Jika ada keperluan, kita sedia pertimbangkan sepertimana yang diamalkan di Parlimen.

“Sebahagian besar dalam Adun tak terlibat dalam kuasa eksekutif. Sebab itulah keputusan kerajaan negeri hanya mengehadkannya kepada exco yang terdedah kepada kuasa eksekutif yang lebih besar,” katanya.

Ditanya mengenai bantahan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak yang tidak bersetuju dengan usaha pengisytiharan harta itu, Latheefa berkata, ia perlu dilakukan sebagai langkah pencegahan korupsi.

“Semua Ahli Parlimen kena isytihar aset secara penuh, kena beritahu daripada sumber mana. Jika dia ada dapat gaji (daripada sumber lain), dia kena isytihar ada dapat gaji.

“Contohnya dia ada pak cik kaya sudah meninggal dunia dan beri harta pusaka kepada dia, dia kena isytihar. Contohnya ada orang bagi dia hadiah dan derma dalam jumlah besar, dia kena isytihar.

“Adalah lebih baik isytihar awal-awal, jangan apabila sudah kena (tangkap SPRM) baru hendak isytihar. Dia juga kena isytihar liabiliti, jadi SPRM dapat bandingkan antara aset dan liabiliti.”

Najib, bekas perdana menteri yang kini berdepan pertuduhan jenayah kerana penyelewengan dana awam sebelum ini mendakwa kewajiban pengisytiharan harta kepada semua ahli Parlimen termasuk wakil pembangkang tidak adil.

Menurutnya, ini adalah kerana wakil rakyat pembangkang mempunyai sumber pendapatan lain, tetapi pendapatan jenis ini perlu diisytiharkan sebagai punca pendapatan menjadi ahli Parlimen.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudian perlu dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada ketua pesuruhjaya SPRM.

Senarai nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta akan dipaparkan di portal berkenaan.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis. – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen