CUTI sakit Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak patut disensasikan, kata Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya.
Latheefa turut menggesa media berhenti daripada mensensasikan semua isu berkaitan agensi anti rasuah itu termasuk cuti sakit timbalannya.
“Kami sudah katakan bahawa ia tiada isu. Orang yang ambil cuti sakit, bukanlah satu berita (isu).
“Jadi, saya menggesa supaya media henti mensensasikan semua benda yang dilakukan oleh agensi ini. Kita mesti bebas dari politik.
“Jadi apa-apa yang dilakukan oleh SPRM dan perkara yang dalam tugasan kami, henti mempolitikkannya, henti sensasikannya. Biar kami lakukan kerja kami,” katanya kepada wartawan di Shah Alam, hari ini.
Latheefa menjawab pertanyaan sama ada beban kerja Azam akan dikurangkan selepas kembali bertugas pada 22 Ogos nanti.
Sebelum ini, Latheefa berkata Azam akan kembali bertugas minggu ini selepas bercuti sakit sejak bulan lalu.
Latheefa ketika itu turut menegaskan tiada pegawai baru yang akan menggantikan tugas Azam.
“Beliau sudah dibenarkan pulang dari hospital malah beliau datang ke pejabatnya (pada Khamis lalu),” katanya kepada The Malaysian Insight pada 15 Ogos lalu.
Minggu lalu, Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan kononnya akan ada perubahan dalam kepimpinan tertinggi SPRM susulan keadaan kesihatan Azam.
Menurut sumber, Azam mengalami masalah kegagalan satu buah pinggang namun beransur pulih selepas menjalani pembedahan.
“Beliau sudah stabil selepas menjalani pembedahan cuma tidak ramai yang dibenarkan melawat kerana doktor risau akan berlaku jangkitan kuman,” katanya.
Latheefa ketika itu menganggap laporan perubahan kepimpinan di SPRM tidak berasas sama sekali. – 19 Ogos, 2019.
Komen