PENCERAMAH bebas Dr Zakir Naik akan dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.
Zakir dipanggil ke Bukit Aman pukul 3 petang untuk menyambung keterangannya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam, katanya ketika dihubungi.
Pada Jumaat lepas (16 Ogos), Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut kanun yang sama.
Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan telah membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.
Terbaru hari ini Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dilaporkan dalam Star Online berkata Melaka turut melarang Zakir daripada memberikan ceramah di negeri itu kerana kerajaan tidak mahu sebarang isu yang boleh menggugat perpaduan kaum.
Setakat ini, tujuh negeri iaitu Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak telah memutuskan untuk melarang penceramah kelahiran Mumbai, India itu dari bercakap di khalayak umum.
Hari ini Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dilaporkan dalam Star Online sebagai berkata bahawa kerajaan tidak mahu sebarang isu yang boleh menggugat perpaduan kaum.
“Kami mahu kekalkannya. Jadi kami putuskan untuk tidak membenarkan Zakir mengadakan ceramah atau perhimpunan di sini,” katanya.
Perlis menjadi negeri terawal yang melarang Zakir memberikan ceramah dalam satu program di negeri itu.
Ia kemudian diikuti oleh Kedah, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.
Sarawak telah melarang Zakir memasuki negeri itu sejak Adenan Satem menjadi ketua menteri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Kedah Dr Ismail Salleh berkata, Zakir boleh melawat Kedah tetapi tidak dibenarkan bercakap di khalayak awam.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata Majlis Islam Pulau Pinang (MAIPP) percaya pandang Zakir tidak sesuai untuk negeri itu.
Bagi Johor, Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIJ) Md Rofiki A Shamsudin berkata, pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada Zakir untuk mengadakan ceramah agama. – 19 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen