Lucut PR Zakir, hantar pulang, kata bekas ketua polis negara


Bekas ketua polis negara Rahim Noor berkata rakyat Malaysia tidak perlu tunggu sebarang siasatan terhadap Zakir Naik untuk membolehkan beliau dihantar pulang ke negara asalnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2019.

BEKAS ketua polis negara menggesa Putrajaya melucutkan status penduduk tetap (PR) Zakir Naik dan menghantarnya pulang ke India, lapor The Star.

Rahim Noor berkata rakyat Malaysia tidak perlu menunggu sebarang siasatan terhadap pendakwah kontroversi itu sebelum beliau dihantar balik.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan mempertimbangkan untuk membatalkan status PR Zakir jika terbukti melakukan kesalahan jenayah.

Rahim, yang merupakan ketua polis negara dari 1994 hingga 1999, berkata berdasarkan apa yang difahaminya daripada komen perdana menteri, “nampaknya seperti kita harus menunggu hasil siasatan”.

Memandangkan Zakir menyinggung perasaan orang bukan Islam di negara ini dalam ceramahnya, tiada keperluan untuk menunggu keputusan siasatan, kata Rahim.

Kerajaan harus membatalkan status PR Zakir, menyerahkannya kepada India dan membiarkan beliau berdepan tindakan undang-undang di sana, kata Rahim.

Zakir dikehendaki di negara asalnya berhubung dakwaan keganasan dan pengubahan wang haram tetapi Putrajaya setakat ini menolak semua gesaan untuk menghantarnya pulang, mendakwa beliau mungkin dibunuh jika diserahkan.

Rahim mempersoalkan mengapa ramai pendakwah Islam di India tidak menghadapi masalah undang-undang kecuali Zakir.

Mereka yang tidak bersetuju dengannya mengenai Zakir harus bertanya kepada diri sendiri mengenai mengapa beliau dikehendaki di India.

“Tentu ada sesuatu yang beliau lakukan di negara asalnya yang bertentangan dengan undang-undang kerana diletakkan dalam senarai individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India,” katanya.

Bekas ketua polis itu berkata Malaysia tidak memerlukan orang asing yang datang ke negara ini dan menggunakan agama untuk mencetus huru-hara dan masalah.

Ketika ditanya bagaimana Zakir mendapat PR pada 2015, Rahim berkata beliau memperolehinya dalam tempoh yang singkat sedangkan ia sepatutnya mengambil masa bertahun-tahun bagi pemohon lain walaupun mereka layak. – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen