PASUKAN pendakwa dan peguambela perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon penangguhan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang ditetapkan bermula hari ini.
Hakim Collin Lawrence Sequerah akan mendengar hujah dikemukakan oleh pihak pendakwa dan pertahanan sebelum membuat keputusan untuk menangguhkan atau meneruskan perbicaraan.
Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 25 tuduhan jenayah melibatkan dana berjumlah RM2.28 bilion.
Pihak pendakwaan akan meminta saksi ke-57 dan terakhir, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain dibenarkan untuk melengkapkan keterangannya bagi perbicaraan SRC International, dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.
Perbicaraan 1MDB dijangka bermula hari ini dan akan diteruskan sehingga 14 November. Bergantung pada keputusan Sequerah, perbicaraan itu boleh dimulakan akhir bulan ini, atau dua minggu selepas peguambela menerima dokumen bukti pra-perbicaraan.
Di mahkamah lain, di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, perbicaraan SRC International masuk hari ke-54 hari ini.
Rosli dijangka akan meneliti dokumen yang dirampas Bank Negara semasa serbuan cawangan AmBank Raja Chulandi Kuala Lumpur pada 5 Julai 2015.
Rosli memberi keterangan minggu lalu yang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil berjanji untuk kembali ke Malaysia dan membantu siasatan selepas kenyataan mereka diambil di luar negara.
Low disoal di Abu Dhabi pada 27 November 2015, manakala Nik Faisal disoal dua kali di Jakarta pada Oktober, 2015. Kedua-dua lelaki masih bebas.
Low meninggalkan Malaysia pada 29 Mei 2015, manakala Nik Faisal pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Mengenai mengapa SPRM tidak mengenakan ikat jamin kepada kedua-duanya, Rosli memberitahu mahkamah: “Memandangkan kedua-duanya (Low dan Nik Faisal) sudah memberi kenyataan mereka dan kerana memberi komitmen, kami yakin mereka akan kembali ke Malaysia untuk bekerjasama dalam perbicaraan.”
Jabatan Imigresen meletakkan kedua-dua individu ini dalam senarai hitam perjalanan pada 14 Mei tahun lepas, dengan waran tangkap dikeluarkan pada 22 Mei.
Rosli memberitahu mahkamah notis merah Interpol dikeluarkan di Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Myanmar dan China.
Pertuduhan Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, kerana menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Beliau didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, tiga pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa. Najib berdepan hukuman penjara 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Pasukan Najib diketuai oleh peguam Umno terkenal Muhammad Shafee Abdullah sementara Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
9.44am: Sequerah menasihatkan supaya mereka memanggil beberapa saksi rasmi dan menyediakan kenyataan pembukaan untuk Isnin.
Beliau berkata akan mendengar mereka sekali lagi untuk pengurusan kes pada Khamis. Mahkamah ditangguhkan.
9.42am: Sequerah bertanya mengapa saksi tidak boleh disiapkan dan Sri Ram menjawab kerana mereka mahu ia mengikut aturan.
Sequerah tidak terpengaruh dan memberitahu kedua-dua pihak yang perbicaraan akan bermula pada Isnin.
9.38am: Shafee meminta 1MDB ditangguhkan sehingga 3 September.
Sequerah bertegas perbicaraan bermula pada Isnin, tetapi menambah beliau bertimbang rasa memberikan beberapa hari untuk meneliti dokumen.
9.37am: Shafee memberitahu Sequerah yang peguambela memerlukan tiga hari untuk saksi SRC International yang terakhir tetapi berjanji akan selesai sebelum Jumaat.
Shafee berkata kerana 15 jilid itu disampaikan hari ini kepada pihak pertahanan, beliau memerlukan masa untuk menyaring dokumen tersebut.
Peguambela SRC International dan 1MDB perlu menyediakan hujah yang konsisten kerana ia saling berkaitan dan mustahil untuk memecahkan pasukan pertahanan kepada dua pasukan.
9.34am: Sequerah meminta pihak pendakwa membaca kenyataan pembukaan hari ini. Sri Ram berkata beliau tidak bersedia dengan kenyataan hari ini.
9.31am: Sequerah bersedia memberi tempoh minggu ini tetapi bertegas untuk memulakannya minggu depan.
Beliau akan menetapkanKhamis untuk pengurusan kes, bermula pada Isnin dan beliau akan mendengar keterangan lisan.
9.28am: Sri Ram mengatakan mereka tidak mempunyai saksi yang bersedia tetapi hakim berkata mereka boleh menggunakan kenyataan saksi dan memulakannya.
Shafee berkata kenyataan itu penting kerana sesetengahnya setebal 200 muka surat dan ia tidak dapat diteruskan tanpanya.
9.27am: Sri Ram berkata disebabkan masalah pentadbiran, mereka tidak dapat menyerahkan kenyataan saksi sehingga Jumaat kerana perlu mengesahkan dokumen terlebih dahulu.
Beliau meminta penangguhan hingga 3 September.
Sequerah meminta penjelasan mengenai kenyataan saksi dan mengapa ia tertangguh.
9.26am: Gopal Sri Ram berkata kepada hakim, mereka tidak dapat meneruskan perbicaraan 1MDB hari ini kerana Najib dan Shafee dikehendaki menghadiri kes SRC International.
Beliau memberitahu hakim yang pihak peguambela memerlukan 1½ hari untuk soal balas saksi kes SRC International yang terakhir.
9.23am: Hakim Collin Lawrence Sequerah masuk ke bilik mahkamah. – 19 Ogos, 2019.
Komen