Kerajaan berkuasa ke atas status PR Zakir, kata Zahid


SM Amin

Mengikut rekod keputusan itu dibuat pada tahun 2015. Muhyiddin (Yassin) masih berada dalam kerajaan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2019.

KERAJAAN berkuasa penuh untuk menarik semula status pemastautin tetap (PR) pendakwah kontroversi Zakir Naik, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Itu keputusan kerajaan sepenuhnya,” katanya Zahid ketika ditanya mengenai perkara itu dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Beliau juga berkata keputusan pemberian PR tersebut dibuat pada 2015 sewaktu Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin masih menjadi timbalan perdana menteri waktu itu.

“Mengikut rekod keputusan itu dibuat pada tahun 2015. Muhyiddin masih berada dalam kerajaan,” katanya lagi selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya.

Beliau bagaimanapun mempertahankan bahawa kenyataan Zakir yang mengundang kontroversi di Kota Bharu pada minggu lalu tidak menghina penganut Hindu atau keturunan Cina.

Beliau percaya media salah melaporkan ucapan itu sehingga menimbulkan polemik.

“Pada hemat saya, di dalam hal ini, ceramah yang diberikan oleh beliau itu dipetik dari luar konteks. 

“Saya tidak fikir beliau menimbulkan kontroversi jauh sekali menimbulkan sebarang polemik,” katanya tanpa menjelaskan konteks tersebut.

Beliau juga menggesa agar parti dalam Pakatan Harapan menghormati pendirian perdana menteri berhubung isu Zakir.

Pada Rabu lalu, Dr Mahathir berkata Zakir tidak perlu dihantar pulang ke India kerana bimbang akan dibunuh.

Para pemimpin dalam Pakatan Harapan bagaimanapun menuntut agar penceramah itu tetap diusir dan status penduduk tetapnya ditarik balik.

Pada hari ini pula, Dr Mahathir mengeluarkan amaran kepada Zakir supaya tidak lagi menyentuh isu politik dalam ucapannya. – 18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen