“TIADA kecacatan adalah liabiliti, semuanya satu keistimewaan.”
Ini apa yang pengasas Pusat Jagaan & Latihan Insan IMC Raaginee Shalesh kepada The Malaysian Insight ketika ditanya tentang keperluan khas orang dewasa dan kanak-kanak.
Raaginee yang mengasaskan IMC bersama suaminya Shalesh @ Rajasingam pada 2004 baru-baru ini membuka restoran di Puchong bagi memberi peluang kepada mereka yang bekeperluan khas mempelajari kemahiran baharu dan keyakinan untuk hidup seperti orang lain.
Dibuka pada Julai lalu, Restoran IMC di Pusat Bandar Puchong dikendalikan oleh orang dewasa bekeperluan khas dan beberapa kakitangan dengan pengawasan Raaginee sendiri.
Raaginee yang berusia 47 tahun berkata, dia mahu membetulkan tanggapan salah orang ramai terhadap golongan kurang upaya dan bekeperluan khas.
Restoran berkenaan membantu mereka mendapatkan sumber pendapatan dan tidak perlu bergantung kepada ibu bapa mereka semata-mata bagi mendapatkan wang.
“Sesetengah orang telah menyebarkan maklumat yang salah mengenai golongan bekeperluan khas. Saya mahu buang stigma ini dan bawa kesedaran positif.
“Ada juga yang kata kalau kamu ada anak istimewa, bunuh saja di dalam rahim. Bunuh saja mereka!
“Saya benar-benar tak setuju kerana jika saya boleh ubah anak-anak buat perkara seperti kita semua, saya fikir mereka ada masa depan dan mereka juga boleh bekerja seperti manusia normal.
“Jadi saya buka restoran ini untuk mereka bekerja, untuk dapatkan gaji supaya mereka tak perlu minta ibu bapa belikan barang yang mereka mahukan,” katanya.
Selain itu katanya tidak seperti industri lain, di restoran mereka dapat belajar banyak kemahiran yang dapat digunakan di kemudian hari.
“Di restoran ada banyak kemahiran (yang ditawarkan). Bukan saja memasak tetapi cara menyambut pelanggan, bagaimana cara menjaga kebersihan, menyapu, membawa dulang, memaparkan menu makanan, bagaimana menggunakan duit dan bercakap dengan pelanggan.
“Beri mereka peluang dan kita akan lihat keajaiban, itu yang kami berikan di sini,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Raaginee berkata, mengendalikan sebuah restoran bukan satu tugas mudah tetapi sokongan yang diperoleh daripada pekerja dan ibu bapa mereka sangat mengejutkan.
“Untuk membuka restoran tak mudah tetapi mereka buatkan saya rasa kurang risau.
“Mereka beri saya semangat, mereka beri saya kegembiraan dengan mengatakan ‘kenapa saya begitu bimbang, sudah tiba masa saya tunjukkan kepada anda apa saja yang anda ajar, saya akan buat sekarang’,” katanya.
Selepas mengasas pusat itu lebih 10 tahun lalu Raaginee berkata, perniagaannya itu mula perlahan baru-baru ini.
Beliau berharap orang ramai akan terus datang ke restorannya dan menunjukkan sokongan kepada para pekerja agar mereka terus diberi keyakinan serta galakan untuk meneruskan perniagaan.
“Saya mahu pelanggan datang, melawat tempat kami dan beri sokongan.
“Tidak ada apa yang hebat. Jika anda datang dan minum secawan teh pun, mereka akan dapat sesuatu,” katanya.
Restoran ini mempunyai 13 pekerja bekeperluan khas selain kakitangan yang lain. – 18 Ogos, 2019.
Komen