TINDAKAN mahkamah oleh Umno untuk saman bekas ahli Parlimennya kerana keluar parti dan menyertai Bersatu berkemungkinan gagal berikutan duluan undang-undang tiga dekad lalu, kata pakar perlembagaan.
Gurdial Singh Nijar berkata, dalam kes pada 1992, Mahkamah Persekutuan menolak saman PAS terhadap bekas ahlinya yang menyertai Umno.
Umno kini dilihat cuba melakukan perkara yang sama terhadap tiga bekas ahli Parlimennya, dan ia “sangat tidak mungkin” untuk bekas parti memerintah itu berjaya, kata Gurdial.
“Terdapat kebebasan berpersatuan sebagaimana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan daam kes Nordin (Salleh) ,” katanya kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada keputusan mahkamah itu pada 1992 bahawa lompat parti tidak melanggar undang-undang.
Rabu lalu, The Malaysian Insight melaporkan writ saman difailkan oleh Umno dan Barisan Nasional terhadap bekas ahli Parlimennya Mustapa Mohamed (Jeli), Hamzah Zainudin (Larut) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) kerana menyertai Bersatu.
Dokumen itu menunjukkan tindakan berkenaan dilakukan oleh Setiausaha Eksekutif Umno Mohd Sumali Reduan bagi pihak Umno dan Abu Khamis bagi pihak Barisan Nasional.
Mereka turut memohon deklarasi mahkamah bahawa semua diperkayakan secara tidak patut, mendakwa wujud pecah amanah antara mereka serta memberi harapan yang tidak adil kepada parti.

Plaintif turut menuntut pampasan sebanyak RM200,000 daripada setiap defendan.
Dalam kes 1992, mahkamah membuat keputusan itu terhadap PAS - yang mentadbir kerajaan negeri Kelantan, menyaman bekas Adunnya Nordin kerana menyertai Umno.
Mahkamah memutuskan Nordin bebas untuk berpersatuan, yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan.
“Ini akan menjadi saman yang menarik,” kata peguam Syahredzan Johan.
“Kita tahu bahawa dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan v Nordin Salleh, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa undang-undang anti-lompat parti tidak berperlembagaan.”
Syahredzan yang juga setiausaha politik kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kes berkenaan sama kecuali fakta bahawa keas itu melibatkan kerajaan negeri dan tidak dalam saman Umno.

“Mahkamah berpegang kepada hak perlembagaan dilaksanakan ‘secara menegak’ dan bukannya ‘mendatar’. Maksudnya, hak perlembagaan hanya boleh digunakan terhadap negeri, dan bukan terhadap entiti swasta atau individu,” katanya.
“Bagaimana dengan parti politik seperti Umno? Adakah ia dianggap sebagai entiti swasta, atau ia terpakai kerana menjalankan fungsi awam. Ini persoalan yang menarik.”
Setakat ini, hanya DUN Pulau Pinang yang mempunyai undang-undang anti-lompat parti di negara ini, yang mana wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya selepas meninggalkan parti.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh sebelum ini berkata, undang-undang Pulau Pinang boleh diisythar sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan kebebasan berpersatuan.
Bagaimanapun, pada Disember, Ramkarpal menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menjadikan tindakan ahli Parlimen lompat parti sebagai satu kesalahan.
Ini berikutan berlaku lompart parti dari Umno ke Bersatu, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Pakatan Harapan.
Bersatu kini mempunyai 26 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, yang merupakan peningkatan daripada 13 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu. – 19 Ogos, 2019.
Komen