Kesan buruk kempen Duterte perangi dadah


Aktivis membakar patung Presiden Rodrigo Duterte berhampiran istana Malacanang di Manila membantah kekerasan polis dalam kempen memerangi dadah. – Gambar AFP, 8 Oktober, 2017.

PADA 29 Mac lalu, Raymart Siapo, 19, yang cacat menjadi mangsa dalam kempen memerangi dadah dilancarkan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Badannya yang penuh dengan kesan tembakan ditemui berhampiran Barangay NBBS, Navotas City di utara Manila.

Pada malam kejadian mengerikan itu, remaja tersebut dikatakan diculik sekumpulan orang bertopeng yang bersenjata, selepas remaja berkenaan dituduh sebagai pengedar dadah oleh jirannya yang bertengkar dengannya sebelum itu.

“Mereka menyuruh anak saya lari, tetapi anak saya yang cacat pada kakinya tidak mampu untuk berlari. Mereka lalu menembak dia di kepala dan mematahkan tangannya,” kata ibunya Luzviminda Siapo atau Minda sambil berlinangan air mata.

Si ibu tersebut bekerja di Kuwait sebagai amah ketika kejadian yang menimpa anak lelakinya itu.

Sambil memegang gambar mayat anaknya yang penuh darah pada satu forum bagi memperkatakan isu perang dadah yang dilancarkan kerajaan Duterte, Minda memberitahu hatinya remuk apabila mengetahui berita kematian anaknya.

Pembunuhan Raymart dianggap sebagai kesan peperangan dadah dilancarkan Duterte yang didakwa turut melibatkan pihak polis Filipina yang menerima wang untuk membunuh suspek dadah, meletak bukti di lokasi jenayah serta melakukan pembunuhan yang dipersalahkan ke atas pihak lain.

Kepedihan Minda bukan saja kerana kehilangan anak tersayang, tetapi ibu tunggal dua anak ini turut mengalami penghinaan dalam meyakinkan majikannya untuk membenarkannya pulang ke Filipina bagi menghadiri majlis pengebumian anaknya.

“Saya terpaksa mencium kaki majikan saya sebanyak tiga kali,” katanya yang juga terpaksa melepaskan statusnya sebagai Pekerja Filipina di Luar Negara (OFW) bagi menjaga seorang lagi anak perempuannya yang berumur 10 tahun.

Akibat pembunuhan Raymart, Ketua Polis Negara Jen Ronald ‘Bato’ de la Rosa pada April lalu mengarahkan agar siasatan dilakukan yang hasil siasatannya sehingga kini masih belum jelas.

Minda juga berkata dia tidak menerima sebarang maklumat mengenai kematian anaknya.

“Namun saya akan teruskan sehingga saya menemui kebenaran mengenai pembunuhan Raymart,” katanya.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Filipina Leah Tanondra-Armamento mendakwa jumlah tidak rasmi mangsa pembunuhan dalam peperangan itu meningkat kepada 13,000 orang dengan hanya kira-kira 8,000 kes yang disiasat.

Kerajaan mendakwa jumlah kematian dalam memerangi dadah 3,000 orang.

Mangsa pembunuhan adalah mereka yang miskin dan terpinggir.

Armamento berkata suruhanjaya tersebut menyokong usaha kerajaan memerangi dadah tetapi bukan pembunuhan yang melanggar undang-undang itu.

“Kami meminta Presiden Duterte untuk menghentikan pembunuhan kerana ia adalah jenayah,” katanya dan turut mahu pihak polis berhenti daripada menjadi “mesin pembunuh” bagi kerajaan. – Bernama, 8 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen