Makin banyak kes remaja hamil di Sarawak, kata kajian


Desmond Davidson

Statistik pada 2018 menunjukkan peningkatan kecil dalam jumlah remaja mengandung, berlawanan dengan trend penurunan sejak 2014. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2019.

KIRA-KIRA satu dalam dua daripada 2,000 remaja Sarawak hamil setiap tahun berusia antara 10 dan 17 tahun, menurut satu kajian Jabatan Kesihatan Sarawak baru-baru ini.

Seorang pegawai Jabatan Kesihatan itu berkata, trend tersebut menunjukkan ramai remaja hamil pada usia yang lebih muda berbanding rekod sebelum ini.

Kajian yang dijalankan pada tahun lalu itu mendapati 57% remaja yang mengandung di negeri itu berusia antara 10 dan 17 tahun.

Sekurang-kurangnya 90% daripada mereka tidak habis sekolah dan separuh daripadanya tidak berkahwin.

Dr Mohd Nazirul Shareef Mohd Ridhwan dari bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan berkata peningkatan jumlah remaja mengandung pada usia yang masih muda itu amat membimbangkan.

Dalam taklimat kepada Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak Abudl Karim Hamzah minggu lalu, Dr Nazirul menganggarkan satu dalam 100 remaja perempuan di Sarawak pernah mengandung sekali sebelum usia 20 tahun.

Jabatan kesihatan negeri itu menjalankan tinjauan terhadap kesihatan remaja pada setiap tahun. 

Statistik pada 2018 menunjukkan peningkatan kecil dalam jumlah remaja mengandung, berlawanan dengan trend penurunan sejak 2014.
 
Terdapat 1% peningkatan atau 23 kes dalam kajian terbaharu.

Faktor kemiskinan dan sosial

Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2012 juga menunjukkan remaja di Sarawak lebih aktif melakukan hubungan seksual berbanding remaja di negeri lain.

NHMS menunjukkan kelaziman 8.7% remaja mengadakan hubungan seks dalam pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di negeri ini, yang melebihi purata kebangsaan sebanyak 8.3%.

Pengkaji itu menyatakan, antara faktor yang menyumbang kepada kehamilan remaja di Sarawak itu adalah kurang pendedahan pendidikan seks, berasa malu untuk mendapatkan perkhidmatan cegah kehamilan dan harga pil perancang yang mahal atau remaja itu tidak boleh membelinya atas faktor usia.

Empat saintis sosial itu mengemukakan perkara itu dalam laporan ‘Potensi Risiko Sosial untuk Remaja Hamil di Sarawak’ yang diterbitkan dalam Pertanika Journal of Social Science and Humanities pada Mac tahun ini.

Albeny Joslyn Panting dari Institut Kesihatan Negara dan tiga lagi saintis dari Universiti Putra Malaysia, Haslinda Abdullah, Samsilah Roslan dan Ismi Arif Ismail, turut mengenalpasti enam faktor sosial yang berisiko sebagai penyumbang kes remaja hamil di negeri itu.

Faktor tersebut adalah penghijrahan luar bandar-bandar, hubungan keluarga bermasalah, kelemahan undang-undang adat perkahwinan, penyalahgunaan alkohol dan dadah, kesedaran yang rendah terhadap kesihatan seksual dan reproduktif, dan pornografi.

Kebanyakan pasangan adalah lelaki lebih berusia

Menurut satu laporan Jabatan Kesihatan negeri, kira-kira 73% remaja hamil melibatkan pasangan lelaki yang berusia antara 20 dan 39 tahun.

Usia ibu bawah umur paling muda yang dilaporkan adalah remaja 12 tahun dari pekan Kapit.

Menteri Wanita, Keluarga, Kanak-Kanak, Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat negeri Fatimah Abdullah berkata isu ini sudah dibangkitkan dan terkawal.

Kerajaan negeri memperkenalkan beberapa program pencegahan di setiap peringkat negeri dan kementerian.

Ia juga menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kehamilan remaja iaitu One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC).

Dr Nazirul bagaimanaun berkata perlu ada kesedaran, pengetahun dan amalan positif berkaitan kesihatan di rumah, sekolah dan masyarakat.

Katanya terdapat juga keperluan untuk menghasilkan dan menyebarkan lebih banyak bahan pendidikan kesihatan mengenai tingkah laku berisiko, kesan dan langkah pencegahan. – 18 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen