Umno terbuka bersama parti lain demi pulih BN Sabah, kata Mat Hasan


Jason Santos

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata BN masih berusaha untuk bangkit di Sabah susulan kekalahan pada PRU14 yang lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2019.

 
BARISAN Nasional (BN) masih berusaha untuk bangkit di Sabah selepas kehilangan kuasa akibat kalah pada pilihan raya umum tahun lalu, kata timbalan presiden Umno.

Mohamad Hasan berkata Umno bersedia untuk bergabung dengan mana-mana parti pembangkang di negeri itu, sama seperti yang dilakukan di Semenanjung Malaysia.

“Kita membentuk satu blok baharu pembangkang… kita mengalu-alukan mana-mana parti untuk bergabung sama ada dengan parti pembangkang atau blok pembangkang yang sedia ada di Sabah,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Tuaran di Sabah.

Turut hadir adalah ketua Umno negeri Bung Mokhtar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan.

BN di Sabah berpecah selepas kalah pada PRU14 dan menyaksikan wakil rakyat mereka lompat parti atau meninggalkan parti itu.

BN Sabah kini hanya diwakili oleh Umno, MCA dan MIC.

Usaha untuk menggantikan BN di Sabah dengan blok pembangkang baharu, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) berdepan kesukaran.

GBS terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah Star), Parti Bersatu Sabah dan Umno Sabah pada awalnya.

Namun pembentukan GBS kelihatan tergantung apabila mereka enggan bekerjasamd dengan Umno Sabah ekoran kerjasama parti Melayu itu dengan PAS di peringkat nasional.

Umno dijangka memeterai piagam kerjasama dengan PAS pada September bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kepimpinan baharu Umno negeri dibentuk susulan tindakan wakil rakyat parti itu meninggalkan Umno pada Disember lalu untuk menyertai Bersatu, menjadikan mereka sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Menurut Mohamad, tindakan mereka itu satu rahmat buat Umno Sabah untuk memberi ruang kepada pemimpin baharu diketengahkan.

“Pengundi sudah lama menunggu untuk melihat muka lama digantikan dengan muka baharu. Lihat Umno Sabah, hari ini kita mempunyai pemimpin baharu yang sedang naik. Mereka tidak mempunyai bebanan politik seperti pemimpin sebelum ini,” katanya.

Mohamad percaya bahawa semangat Umnos sedang pulih semula di Sabah selepas rakyat secara umumnya sedar mereka menyesal mengundi PH.

Mohamad berkata kegagalan PH bukan sahaja tidak menunaikan manifesto pilihan raya tetapi mencetuskan ketegangan kaum dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang berlaku dalam media sosial.

“Sebenarnya, apa yang dihadapi BN sebelum PRU lalu, sama seperti dihadapi PH sekarang ini,” katanya. – 17 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen