Umno sedia hadapi PRK Kimanis, kata timbalan presiden


Jason Santos

Mohamad Hasan berkata ketua Umno negeri Bung Mokhtar Radin dan beberapa pemimpin tertinggi akan mengadakan mesyuarat bagi mengerahkan jentera kita dan semua persediaan bagi menghadapi PRK. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2019.

UMNO bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) di Sabah susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas wakil parti itu di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (14) lalu, kata timbalan presiden parti Mohamad Hasan.

Beliau berkata persediaan sudah dimulakan walaupun keputusan itu masih dalam rayuan.

“Masih ada 14 hari lagi untuk mana-mana parti yang terlibat memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu. Bagaimanapun Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia.

“Ketua Umno negeri (Sabah) Bung Mokhtar Radin dan beberapa pemimpin tertinggi akan mengadakan mesyuarat bagi mengerahkan jentera kita dan semua persediaan bagi menghadapi PRK.

“Sama ada PRK akan diadakan adalah persoalan kedua, tetapi kesediaan kita lebih penting. Persediaan awal selalu menghasilkan keputusan yang baik,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Tuaran hari ini.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen Kimanis.

Hakim Lee Heng Cheong memutuskan demikian selepas menemui undi tidak sah dan unsur manipulasi ke atas peti undi yang digunakan dalam PRU14 untuk kerusi itu. 

Peguam Anifah, Ansari Abdullah berkata anak guamnya akan merayu keputusan mahkamah membatalkan kemenangan di kerusi tersebut, yang akan dibuat dalam masa 14 hari.

Anifah yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno mengumumkan keluar parti pada September tahun lalu.

Mohamad berkata kerusi Kimnasi merupakan kerusi tradisi Umno dan pihak pembangkang yang lain perlu menghormati hal ini.

Beliau mengingatkan bahawa Umno tidak bertanding dalam PRK Sandakan baru-baru ini bagi membolehkan bekas sekutu BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding.

“Sandakan bukan kerusi Umno. Saya rasa kita perlu menghormati satu sama lain. Kita sudah membantu PBS di sana dan bekerjasama sebagai satu blok pembangkang.

“Kepercayaan yang sama perlu ditunjukkan di Kimanis jika ia (PRK) berlaku. Jadi perlu ada kesepakatan,” katanya.  – 17 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen