Syarikat telco didenda RM3.83 juta setakat bulan Julai, kata SKMM


Daripada 44 kompaun antara April dan Julai, YTL Communications Sdn Bhd menduduki tempat teratas dengan 15 kompaun yang diterima bernilai RM750,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2019.

SYARIKAT-syarikat telekomunikasi didenda sebanyak RM3.83 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, lebih daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang tahun lepas, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini.

Sejumlah 107 kompaun telah dikeluarkan kepada telco pada 31 Julai kerana pelbagai kesalahan seperti tidak patuh dengan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar, Kod Pengguna Umum dan Piawaian Mandatori, kata SKMM.

“Jumlah nilai kompaun yang dikeluarkan adalah 20.4% lebih tinggi daripada jumlah kompaun bernilai yang dikeluarkan kepada syarikat telco untuk keseluruhan 2018, iaitu sebanyak RM3.18 juta.

“Sehingga 31 Mac 2019, 63 kompaun bernilai RM2.32 juta dikeluarkan manakala 44 kompaun bernilai RM1.51 juta dikeluarkan antara April 2019 dan 31 Julai 2019,” kata pengawal selia peraturan SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada 44 kompaun antara April dan Julai, YTL Communications Sdn Bhd menduduki tempat teratas dengan 15 kompaun yang diterima bernilai RM750,000.

Symphonet Sdn Bhd juga turut diberikan 15 kompaun berjumlah RM150,000.

Maxis Broadband Sdn Bhd juga turut diberikan 6 kompaun berjumlah RM250,000.

44 denda yang lain dikeluarkan kepada beberapa syarikat telco lain  antara April dan Julai termasuk Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan dua kompaun berjumlah RM200,000 dan Enabling Asia Tech Sdn Bhd, yang melibatkan jumlah kompaun dan denda yang sama.

Celcom Axiata Berhad, Tune Talk Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd masing-masing menerima satu kompaun dengan nilai keseluruhan RM160,000. 

SKMM berkata ia akan terus memastikan syarikat telekomunikasi memberikan perkhidmatan pelanggan yang unggul dengan kualiti yang baik sebagai sebahagian daripada usaha melindungi dan mengukuhkan hak pengguna.

SKMM turut menggesa syarikat telco untuk mematuhi syarat-syarat lesen, Kod Pengguna Umum dan perkara undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen