TAUFAN Nate membadai hujung tenggara Amerika Syarikat (AS) di Louisiana semalam dan menghala ke arah Mississippi selepas menyebabkan ramai yang maut dan banjir di Amerika Tengah.
Pegawai rasmi menggesa penduduk mengosongkan sesetengah kawasan yang dianggap bahaya sebelum ribut melanda petang semalam.
Orang ramai kelam kabut mengosongkan rumah masing-masing sebelum dilanda taufan kali ketiga dalam tempoh dua bulan.
Tetapi Presiden Donald Trump berkata pegawai persekutuan bersedia menghadapi taufan itu, mendesak penduduk di Louisiana, Mississippi, Alabama dan Florida supaya mendengar arahan pihak berkuasa.
Semalam, ribut itu mula dikesan di kawasan tepian pantai Mississippi, tetapi Pusat Taufan Negara memberi amaran ia mungkin membadai kali kedua dalam tempoh sejam atau dua jam selepas itu.
Diramalkan, ribut itu akan melewati beberapa bahagian di daerah bahagian selatan sehingga lewat hari ini.
Ribut itu, taufan kategori pertama mampu membawa angin selaju 85km sejam, secara perlahan-lahan menuju ke arah utara pada kadar 20km sejam.
Pusat taufan berkata kombinasi ribut yang bahaya dan air pasang biasanya akan menyebabkan kawasan kering di tepi pantai akan dinaiki air. – AFP, 8 Oktober, 2017.
Komen