SEORANG sukarelawan dalam pasukan mencari Nora Anne Quoirin membangkitkan persoalan bagaimana gadis itu boleh sampai ke air terjun kawasan di mana mayatnya ditemui, lapor akhbar UK Daily Mail.
Sukarelawan itu yang tidak dinamakan, dilaporkan berkata, bagi seorang gadis berusia 15 tahun yang mempunyai masalah kelainan upaya sejak lahir, hampir mustahil untuk merentasi kawasan hutan tebal itu untuk ke air terjun berkenaan.
Sukarelawan itu juga menggambarkan laluan berhutan tebal dan bersemak menyelubungi kawasan mayat Nora ditemui 10 hari selepas dilaporkan hilang daripada vila diduduki keluarganya di Seremban.
“Nora tak boleh ke sana sendiri,” katanya dipetik akhbar itu.
“Saya sendiri sukar hendak berjalan. Laluan itu sukar untuk orang biasa sekalipun.
“Semak tebal sekat kaki anda. Purata curam cerun di mana Nora ditemui antara 20 hingga 40%. Awak perlu lalu dua jurang dalam untuk sampai tempat dia ditemui.
“Laluan ke air terjun itu sangat licin. Akar kayu dan batu basah. Kasut saya rosak bila sampai dan Nora hanya berkaki ayam. Saya tak boleh bayangkan dia berjalan ke tempat dia ditemui,” katanya.
Laporan menyebut, kenyataan sukarelawan itu menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap teori polis yang Nora sampai ke tempat itu selepas merayau keluar dari biliknya pada tengah malam.
Sementara itu, satu lagi sumber dilaporkan akhbar The Mirror berkata keluarga Nora sudah meminta bedah siasat kedua dilakukan di luar Malaysia.
Ibunya, Meabh, 45, dan ayahnya Sebastien,47, mahu memastikan tiada bukti terlepas pandang dalam kematian anak gadis mereka.
“Mereka sedang mempertimbangkan. Mereka perlu memutuskan sama ada untuk meminta ia diadakan di Malaysia sekali lagi atau ditempat lain.”
Dilaporkan bedah siasat kedua itu mungkin diadakan di UK atau Perancis di mana siasatan masih sedang berjalan.
Bagaimanapun, wujud kebimbangan sama ada sekiranya ada bukti baharu ditemui dalam laporan bedah siasat kedua yang dijalankan di luar Malaysia boleh diterima mahkamah negara ini.
Keluarga Nora sudah menuntut mayat Nora di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban pada jam 12.42 tengah malam tadi.
Difahamkan, mayat dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur walaupun destinasi terakhirnya tidak diketahui.
Mayat Nora ditemui pada hari Selasa lalu pada jarak hanya 2.5km dari vila diduduki keluarganya yang datang bercuti.
Keluarganya melaporkan kehilangan Nora pada 4 Ogos lalu, sehari selepas mendaftar masuk ke The Dusun untuk bercuti selama dua minggu.
Laporan bedah siasat dilakukan pakar patalogi Hospital Kuala Lumpur mendapati Nora meninggal dunia kerana kebocoran usus dan tekanan. Beliau dianggarkan maut dua atau tiga hari sebelum mayatnya ditemui.
Polis sudah menafikan wujud unsur jenayah dalam kes itu. – 17 Ogos, 2019.
Komen