Mahkamah batal kemenangan Anifah di kerusi Kimanis


Jason Santos

Anifah Aman meraih 11,942 undi menang kerusi parlimen Kimanis dengan hanya kelebihan 156 undi pada PRU14. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen Kimanis.

Hakim Lee Heng Cheong memutuskan demikian selepas menemui undi tidak sah dan unsur manipulasi ke atas peti undi yang digunakan dalam PRU14 untuk kerusi itu.

“Selepas memeriksa peti undi, mahkamah mendapati terdapat 284 undi tambahan dibuang secara tidak wajar di Kampung Brunei dan 54 undi tambahan ditambah secara tidak wajar di SJK Cheng Meng.

“Ini menjejaskan keputusan kerusi Parlimen Kimanis,” katanya.

Hakim juga mendapati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan Kesalahan Pilihan Raya mengikut Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Keputusan itu bakal menyaksikan satu pilihan raya kecil akan diadakan untuk kerusi Kimanis.

Anifah meraih 11,942 undi menang kerusi itu dengan hanya kelebihan 156 undi dalam PRU14.

Dua lagi pencabarnya, Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah dan Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat masing-masing meraih 11,786 dan 1,300 undi.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan tersebut dan mendakwa berlaku penipuan undi serta rasuah dan menamakan Anifah serta SPR sebagai defendan.

Bujang diwakili peguam Frederick Chang, manakala Anifah diwakili sembilan orang peguam diketuai Ansari Abdullah dan SPR pula diwakili Mohd Zulkarnain. 

Menurut Chang, hakim menolak tuduhan rasuah ke atas Anifah tetapi membenarkan tuduhan berkaitkan pelanggaran undang-undang pilihan raya.

Mahkamah turut mengarahkan SPR membayar RM100,00 kepada Karim kerana melanggar undang-undang pilihan raya berhubung kertas undi tidak sah.

Karim pula diarahkan oleh mahkamah untuk membayar RM105,000 kepada Anifah kerana gagal membuktikan tuduhan rasuah ke atas bekas menteri itu.

Sementara itu, peguam Anifah, Ansari berkata anak guamnya akan merayu keputusan mahkamah membatalkan kemenangan di kerusi tersebut, yang akan dibuat dalam masa 14 hari.

Anifah yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno mengumumkan keluar parti pada September tahun lalu. – 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen