TPM ucap takziah dalam pertemuan penuh emosi dengan keluarga Nora


Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada pemberita semasa sidang akhbar di Balai Polis Pantai di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2019.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkunjung ke ibu negeri ini hari ini bagi melahirkan rasa dukacita beliau kepada keluarga Nora Anne Quoirin, remaja berdarah Perancis-Ireland, yang meninggal dunia selepas melalui kejadian tragis selepas hilang dalam hutan dekat Seremban.

Mayat remaja berumur 15 tahun itu dijumpai pada Selasa susulan satu operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran oleh pihak berkuasa Malaysia selepas beliau dilaporkan hilang dari vila percutian di resort eko-pelancongan dekat Seremban pada 4 Ogos.

Ia suatu pertemuan penuh emosi dengan linangan air mata apabila Wan Azizah memeluk ibu Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, ketika ditemukan di resort berkenaan, yang dibuat secara tertutup. demikian menurut Anggota Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon yang turut hadir.

“Timbalan perdana menteri kelihatan sedih sepanjang pertemuan itu,” kata Tan yang mengiringi Wan Azizah bersama-sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusof, pegawai yang mengeluarkan hasil pemeriksaan post-mortem ke atas badan Nora Anne, semalam.

Menurut pegawai negeri itu lagi, Meabh dan suami Sebastien Marie Philipe didengar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha yang dijalankan dalam kes itu.

Wan Azizah enggan mengulas mengenai hasil pertemuan itu apabila dihampiri para pemberita kemudian.

Beliau hanya menyebut keluarga berkenaan memohon diberi privasi semasa menghadapi waktu sukar ini.

Hasil post-mortem menunjukkan bahawa Nora Anne, remaja berkeperluan khas, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman kemungkinan akibat kelaparan dan stres.

Keluarga Quoirin itu telah mendaftar masuk ke resort di pinggir hutan hujan tropika itu pada 3 Ogos untuk percutian selama dua minggu.

Mereka memaklumkan perkara itu selepas mendapati Nora Anne hilang dari biliknya keesokan pagi, dengan tingkap di biliknya terbuka.

Wan Azizah terdahulu diberi taklimat mengenai kes itu oleh Mohamad di balai polis Pantai di Seremban.

Ketika ditemui pemberita di Seremban, beliau menyifatkan kematian Nora Anne sebagai satu yang tragis dan amat menyedihkan

Beliau turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat atas usaha tanpa mengenal penat untuk mencari Nora Anne, yang mayatnya dijumpai di gaung kira-kira 2.5 km dari eko-resort itu pada hari ke-10 operasi. – Bernama, 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen