Ceramah anti rasuah, 1MDB di seluruh negara berjaya


Looi Sue-Chern Asila Jalil

Acara finale ceramah dan jelajah Pakatan Harapan (PH) "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi" anjuran Pakatan Harapan akan diadakan 14 Oktober di Petaling Jaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2017.

CERAMAH dan jelajah Pakatan Harapan (PH) “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” di seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tiba ke pengakhirannya.

Malam tadi, PH mengadakan ceramah anti kleptokrasi itu yang terakhir di negeri yang ditadbir pembangkang, Pulau Pinang. Malam ini mereka akan mengadakan himpunan terakhir di Kompleks Sukan Pandamaran di Klang sebelum acara kemuncak di Petaling Jaya pada 14 Oktober.

Pemimpin PH berkata keseluruhan jelajah itu satu kejayaan.

Khalayak ramai, kejayaan besar

Bagi Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamed yang berusia 92 tahun, yang menjadi tunggak kepada ceramah mega di semua negeri kecuali Sabah, usaha itu amat berbaloi.

Beliau berkata ceramah dan jelajah itu berjaya menarik orang rami, termasuk penyokong Umno dan PAS yang selalunya bersembunyi.

“Ramai orang datang, biasanya beribu. Di sesetengah tempat, orang ramai datang hingga 10,000. Saya fikir ia sangat berkesan,” kata pemimpin veteran itu yang bercakap di dua hingga tiga program ceramah anti kleptokrasi dalam seminggu.

Pengerusi Bersatu itu, yang turut membawa isu 1MDB ke kawasan Felda, berkata jelajah itu banyak membantu rakyat untuk lebih memahami skandal berkenaan.

“Kebanyakan mereka orang Melayu kini sudah beralih arah (daripada kerajaan), kerana mereka tidak faham (mengenai 1MDB) dan kita sudah dapat menjelaskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Orang Melayu sudah faham

Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu yang mengetuai parti komponen PH, Amanah berkata lebih ramai orang Melayu pada masa ini dapat melihat gambaran 1MDB selepas menghadiri ceramah anti kleptokrasi itu.

“Cina sudah lama faham. Orang Melayu baru sekarang lebih memahaminya. Ceramah dan jelajah itu sangat berkesan.

“Ada ceramah di Terengganu pada Jumaat malam. Responsnya bagus. Malam ini juga bagus,” katanya pada majlis terakhir ceramah anti kleptokrasi PH di Guar Perahu, Pulau Pinang malam tadi.

Ceramah di kubu kuat pembangkang di Permatang Paut itu turut dihadiri Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata dengan penutupnya ialah Bank Negara Malaysia mengenakan denda terhadap 1MDB sebanyak RM115.8 juta di bawah Artikel 234 (3b) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, rakyat Malaysia sepatutnya yakin dengan dakwaan penyelewengan oleh syarikat pelaburan negara itu.

Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata PH memperoleh sokongan daripada semua kaum menerusi ceramah dan jelajah 1MDB, serta maklum balas positif dapat dilihat menjelang pilihan raya umum ke-14.

Katanya, beliau berharap momentumnya akan kekal sehingga ke acara kemuncak pada Sabtu depan dengan kehadiran yang ramai.

“Himpunan terakhir ini boleh menjadi sebahagian daripada momentum kemuncak untuk PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita perlu sampaikan mesej, langkah penting yang kita buat menjelang pilihan raya,” katanya.

PH menyasarkan 100,000 akan datang ke Padang Timur, Petaling Jaya untuk himpunan terakhir anti kleptokrasi itu pada Sabtu depan dari jam 4 petang hingga tengah malam.

PH menganjurkan ceramah perdana dengan tema “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” dan siri jelajah di kawasan luar bandar dan separa bandar, dengan sasarannya ialah orang Melayu, sejak Julai.

Pengundi Melayu dianggap sebagai penyebab kemenangan Umno dan Barisan Nasional selama ini dan bagi memenangi pilihan raya akan datang untuk terus mengawal Putrajaya.

Jelajah dan ceramah anti kleptokrasi PH diadakan untuk memberi penjelasan mengenai skandal 1MDB kepada rakyat dan ia bermula tidak lama selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil ketiganya pada Jun untuk menyita berbilion ringgit aset yang didakwa dibeli menggunakan duit dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu.

Orang kampung peduli

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, yang sering menjadi speaker dalam jelajah 1MDB sejak acara pertama pada 16 Julai di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang juga berkata respons rakyat amat menggalakkan.

“Saya kendalikan lebih 12 ceramah 1MDB di seluruh negara dalam tempoh dua bulan lalu.

“Apa yang saya lihat ialah sambutan amat menggalakkan dan ia menolak mitos mengatakan populasi luar bandar tidak berminat dengan skandal 1MDB,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas Penaga, Pua beberapa kali ke Pulau Pinang sepanjang dua bulan lalu untuk menghadiri program ceramah di Balik Pulau, Sungai Pinang, Nibong Tebal dan Tasek Gelugor.

Beliau juga ke Salak Tinggi, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali di Selangor; Pontian dan Kulai di Johor; Kuala Krai di Kelantan; dan Raub, Pahang.

Ceramah 1MDB diteruskan

Selepas program finale pada Sabtu ini, Pua berkata PH akan terus membawa isu 1MDB kepada rakyat sehinggalah pilihan raya umum diadakan.

Katanya, akan ada lebih banyak ceramah mengenai skandal itu tetapi berskala kecil.

“Sepanjang dua bulan lalu membuktikan isu 1MDB ialah isu berkesan untuk mengubah minda pengundi luar bandar. Tetapi ia perlu dibawa ke setiap kampung, diberitahu menerusi ceramah mini, antara 100 hingga 300 orang.

“Maka, selepas himpunan 14 Oktober, kami akan teruskan usaha untuk berkongsi pesanan ini, terutama kepada pengundi luar bandar di kerusi marginal menjelang pilihan raya,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata perkataan kleptokrasi masih agak baru kepada rakyat Malaysia, jadi usaha perlu diteruskan untuk mengaitkan terma itu dengan kos sara hidup yang meningkat dialami rakyat pada masa ini.

“Kleptokrasi itu satu jenayah, bermakna wang diambil daripada rakyat. Tetapi ramai yang tidak faham.

“Dalam semua himpunan itu, kami beritahu rakyat bagaimana ia berkait dengan hidup kita, apa kaitannya dengan keadaan yang semakin menghimpit kita sekarang.

“Kami perlu teruskan selepas 14 Oktober. Rakyat perlu tahu yang mereka perlu lawan kleptorasi dengan mengubah kerajaan,” katanya. – 8 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen