Zakir akur nasihat mufti, tak jadi ceramah di Kuala Perlis


SM Amin

Pendakwah kontroversi Zakir Naik bersama anaknya Fariq Naik dijadualkan berceramah di program Malaysia Reverts Camp 2019.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2019.

PENDAKWAH kontroversi Zakir Naik tidak akan hadir untuk berucap dalam program di Kuala Perlis atas nasihat mufti negeri itu, Mohd Asri Zainul Abidin.

Pembantu Zakir, Zamri Vinoth berkata mereka akur dengan saranan dan nasihat mufti supaya mengecualikan penceramah tersebut daripada program tiga hari yang dijadualkan bermula hari ini.

“Kami bersetuju, lebih baik kita tangguh dahulu demi kemaslahatan dakwah masa hadapan yang lebih besar. Kami penganjur menerima nasihat dan saranan daripada mufti Perlis.

“Program diteruskan cuma kita beri Zakir Naik rehat dahulu. Keadaan tengah panas, kita tidak mahu memburukkan keadaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, mufti Perlis dalam sepucuk surat yang diterima pagi tadi menasihatkan supaya penganjur tidak melibatkan Zakir dan keluarganya dalam program tersebut.

Dalam surat itu, yang dilihat The Malaysian Insight, Asri menyarankan demikian supaya Zakir dan keluarga tidak akan terjejas dengan isu yang mungkin ditimbulkan pihak tertentu.

“Tujuan nasihat ini supaya beliau dan keluarga tidak diganggu disebabkan isu yang akan dibangkitkan pihak yang berniat tidak baik,” tulis Asri dalam surat tersebut.

Saranan itu muncul selepas amaran keras Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semalam supaya Zakir tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang menjejaskan hubungan kaum di Malaysia.

Mengulas lanjut, Zamri memaklumkan beliau juga ada dihubungi oleh pihak polis untuk berunding mengenai penganjuran program tersebut.

“Polis ada panggil untuk berunding tetapi saya minta supaya mereka keluarkan surat rasmi arahan tersebut.

“Jika hendak halang atau ambil tindakan sebagainya, mesti ada sandaran perundangan. Mereka tiada keluar apa-apa surat rasmi,” katanya.

Zakir bersama anaknya Fariq Naik dijadualkan berceramah di program Malaysia Reverts Camp 2019 itu. Antara program yang disusun adalah sesi soal jawab secara terbuka – Ask Dr Zakir.

Tambah Zamri, program tersebut tersebut tetap akan berjalan tetapi tempat Zakir akan digantikan dengan anak muridnya yang akan ditentukan nanti.

“Slot Zakir akan digantikan dengan anak murid beliau. Program ‘Ask Dr. Zakir Naik’ akan jadi ‘Ask The Student of Zakir Naik’,” katanya.

Zamri semalam menegaskan ceramah Zakir akan tetap diteruskan walau menteri Kabinet mendesak agar penceramah kontroversi itu tidak lagi dibenarkan mengadakan sebarang program di Malaysia.

Tuntutuan itu dibangkitkan dua menteri DAP, Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Ia susulan kenyataan Zakir yang didakwa mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu kepada negara dalam ceramahnya di Kota Bharu minggu lalu.

Kenyataannya Zakir itu mencetuskan kemarahan daripada masyarakat India di negara ini yang mahu beliau keluar dari Malaysia.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menegaskan Zakir akan kekal di Malaysia kerana bimbang akan dibunuh jika dihantar pulang ke India. – 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen