MEREKA yang menghina dan merendahkan angkatan tentera adalah musuh kepada negara dan rakyat, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
“Bagi saya, sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, jika menghina anggota tentera, mereka adalah musuh rakyat dan musuh negara.
“Tentera boleh dikritik, tapi jangan pula sampai menghina,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau turut mendedahkan kerajaan akan membangunkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) dengan harapan dapat memberi pencerahan dan kefahaman lebih jelas kepada masyarakat berkaitan pertahanan negara.
Mohamad dalam satu kenyataan berasingan berkata, tindakan ini berlaku kerana sesetengah pihak begitu naif dan cetek kefahaman berkaitan peranan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kesejahteraan rakyat.
Walaupun menteri itu tidak menyebut secara spesifik, kertas putih dilihat berpunca daripada dakwaan penghinaan yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan mengenai angkatan bersenjata di blognya.
Ahli perniagaan terbabit, Koon Yew Yin menyifatkan anggita tentera “tidak melakukan apa-apa sebaliknya hanya makan dan minum” ketika berhujah mengenai keperluan untuk mengurangkan kakitangan awam negara. Beliau bagaimanapun telah meminta maaf kerana kenyataan itu.
Mohamad berkata, keamanan yang dikecapi rakyat hari ini adalah kerana anggota keselamatan, khususnya tentera, menjalankan tugas mereka mengawal wilayah negara sama ada di daratan, lautan dan udara pada setiap masa.
Menurutnya, kebanyakan mereka berada di perbatasan yang jauh daripada penglihatan orang awam.
Selain itu katanya, ATM juga mempunyai urusan diplomatik untuk diuruskan.
“Kementerian Pertahanan dan ATM juga melaksanakan diplomasi pertahanan bersama negara-negara jiran yang berkepentingan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.”
Katanya, aktiviti ang dijalankan dalam diplomasi pertahanan termasuk mesyuarat berkala, kunjungan hormat, pertukaran pegawai, kursus dan latihan, serta eksesais ketenteraan. Hakikatnya tentera kita sentiasa mempunyai tugasan walaupun negara kita berada dalam keadaan aman.
Selain itu kata Mohamad, Tentera juga menjadi tulang belakang kepada operasi menyelamat apabila negara kita mahupun negara jiran menghadapi krisis atau bencana dan juga berada di serata dunia berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk misi keamanan sejagat.
“Begitu juga aset-aset ketenteraan yang bukan sahaja digunakan untuk pertahanan, tetapi juga untuk pelbagai operasi semasa aman.
“Yang jelas dan pasti, ATM adalah barisan hadapan kerajaan bagi menangani pelbagai isu keselamatan di peringkat domestik dan antarabangsa.”
Beloau berkata apabila negara aman, rakyat dapat melakukan aktiviti harian dengan selamat tanpa perlu risau ditembak atau dibom seperti sesetengah negara lain.
“Pelabur luar dan pelancong juga akan datang ke Malaysia apabila mengetahui negara ini dalam keadaan aman.
“Aktiviti pembangunan negara juga dapat berlangsung tanpa halangan. Inilah sumbangan Kementerian Pertahanan dan ATM yang ramai tidak sedari.” – 16 Ogos, 2019.
Komen