SEORANG pegawai bank Itali kini dikenal pasti sebagai “lelaki misteri” di sebalik kaitan Goldman Sachs dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Bloomberg.
Andrea Vella, yang menyelia perbankan pelaburan Goldman Sachs bagi Asia kecuali Jepun, kini secara rasmi “bercuti” selepas pendakwa Amerika Syarikat (AS) tahun lalu mengaitkannya dengan urus niaga yang membolehkan ahli peniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan pegawai tertiggi Malaysia, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, mengambil berbilion dolar daripada dana negara.
Bank berpangkalan di New York itu menafikan sebarang peranan menipu 1MDB, sebaliknya menyalahkan Tim Leissner, bekas pengerusi Asia Tenggara kerana bersubahat menyogok pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi serta pengubahan wang haram daripada penawaran bon yang Goldman Sachs kendalikan bagi pihak 1MDB.
Seorang lagi jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, masih cuba memohon rayuan terhadap dakwaan AS berhubung penyelewengan dana daripada 1MDB.
Ng, yang bekerja di bawah Leissner, dibawa ke AS pada Mei, mengaku tidak bersalah bagi tuduhan bersubahat merasuah pegawai dan pengubahan wang haram berhubung peranannya di Goldman Sachs, yang berjaya memperoleh lebih AS$6 bilion (RM25.5 bilion) untuk 1MDB dan menerima bayaran sebanyak AS$600 juta.
Bloomberg berkata hari ini jika pendakwa AS boleh menunjukkan bagaimana seseorang yang berkuasa seperti Vella membantu dalam kes 1MDB, ia akan menyukarkan Goldman Sachs untuk menafikan bahawa ia sedar mengenai percubaan menyogok pegawai ketika meletakkan kesalahan kepada Leissner.
Minggu lalu, Peguam Negara Tommy Thomas memfailkan pertuduhan terhadap 17 pengarah dan bekas pengarah tiga anak syarikat Goldman Sachs, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan bank bertanggungjawab bagi pelakuan jenayah di bawah pengawasan mereka.
Bagaimanapun, Bloomberg berkata perlawanan lebih sengit dijangka berlaku di AS dengan pendakwa bersiap sedia berbincang mengenai penyelesaian dengan Goldman Sachs.
Vella dinamakan dalam kertas pertuduhan dan didakwa diberi taklimat mengenai rancangan membayar rasuah dan sogokan untuk memastikan pengumpulan dana 1MDB diteruskan. – 16 Ogos, 2019.
Komen