Kami sudah beri amaran mengenai Zakir Naik, kata aktivis Sarawak


Desmond Davidson

Aktivis mendesak Putrajaya menggunakan undang-undang keselamatan terhadap pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik kerana membangkitkan ketegangan agama dan kaum di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2019.

RAKYAT Malaysia kini terpaksa menerima akibat kerana kerajaan tidak mempedulikan amaran sekumpulan aktivis mengenai Dr Zakir Naik melalui saman sivil yang difailkan pada 2017, kata aktivis Hak Asasi Manusia Sarawak, Peter John Jaban.

“Kami cuba memberi amaran kepada rakyat Malaysia mengenai bahaya dan ancaman Zakir di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum ini jika kita membiarkannya masuk,” kata Jaban, merujuk kepada saman sivil yang difailkan oleh aktivis hak asasi manusia terhadap kerajaan Malaysia dua tahun lalu.

Dalam saman 1 Mac 2017, aktivis menuduh Putrajaya gagal melindungi negara daripada ancaman yang ditimbulkan oleh pendakwah kontroversi dari India, yang turut dikenali beberapa pihak sebagai “pendakwah kebencian”. Saman itu ditolak.

“Tiada siapa peduli. Sekarang kita menerima akibat kerana tidak mendengar,” kata Jaban ketika turut serta desakan agar Putrajaya mengusir Zakir yang dikehendaki di India atas dakwaan keganasan dan pengubahan wang haram.

Serangan baru-baru ini terhadap Zakir adalah mengenai kenyataan yang dibuat di Kota Baru, Kelantan hujung minggu lalu yang mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di Malaysia.

Zakir kemudiannya juga didakwa membuat kenyataan menghina terhadap kaum Cina yang melabel mereka sebagai “tetamu” di negara ini.

Saman aktivis itu ingin mendapatkan pengisytiharan kerajaan yang Zakir adalah ancaman terhadap keselamatan negara dan menyeru larangan beliau memasuki negara ini. Mereka juga mahu beliau ditangkap dan dihantar pulang segera.

Para aktivis, daripada pelbagai latar belakang agama dan etnik termasuk bekas pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) P Waytha Moorthy dan peguam bela Siti Kassim.

Mereka menuduh Zakir sebagai “orang tidak diingini” dan “pendakwah kebencian”.

Jaban berkata inilah masanya kerajaan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Beliau berkata Putrajaya harus menggunakan undang-undang keselamatan mengenai pendakwah kerana membangkitkan ketegangan agama dan kaum di negara ini. – 16 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen