40 kerusi Umno penentu PRU14, kata ahli parlimen Kluang


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata jika Umno hilang kesemua 40 kerusi, ia juga pengakhiran buat Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2017.

PERTEMPURAN utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ialah di Semenanjung dan dalam 40 kerusi pelbagai etnik yang dimenangi sedikit oleh Umno pada pilihan raya lepas, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, hari ini.

Dalam sebuah forum di Kuching petang tadi, Liew memberitahu yang kerusi Umno adalah kerusi kurang majoriti Melayu dan ia menang nipis dengan margin 8%.

Forum itu turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How.

Beliau berkata, jika Umno hilang kesemua 40 kerusi, dan walaupun Umno Sabah dan Barisan Nasional (BN) Sarawak mengekalkan kerusi mereka di kedua-dua negeri terbabit, ia bukan saja pengakhiran buat Umno.

Ia juga bererti pengakhiran bagi kerajaan BN.

“Menewaskan Umno bererti menewaskan BN.

“Saya tak kata ia mudah, tetapi ia boleh dicapai.

“Semua tanda-tanda pada masa ini menunjuk ke arah itu (Umno hilang kerusi).”

“Umno ada 73 kerusi di Semenanjung. Mereka akan menang 30 kerusi.

“Ini adalah deposit tetap Umno, direka untuk Umno.

Kebanyakan kerusi-kerusi ini kata Liew, terletak di Pantai Timur Semenanjung.

Mengambil kerusi campuran 60-40% sebagai contoh, Liew berkata pada masa ini PH boleh memperoleh 80% undi bukan Melayu, manakala undi Melayu terbahagi kepada empat di kalangan Umno, PH, pengundi tegar PAS yang anti-Umno dan pro Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyokong Umno.

Liew berkata PH hanya memerlukan 10-15% undi Melayu untuk memenangi kerusi itu.

“Akan berlaku tsunami Melayu-rakyat Malaysia.

“Anda akan melihat sebuah kerajaan baru.”

Liew berkata ‘medan pertempuran’ akan berada di selatan Kedah, utara dan selatan Perak dan utara Pulau pinang, utara Selangor, di sepanjang lebuh raya Karak di Pahang serta di utara dan selatan Johor.

Beliau juga berkata Johor dan Kedah boleh menjadi negeri yang menarik “untuk ditonton” pada pilihan raya akan datang disebabkan kesan pengaruh Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

“Siapa sangka orang Melayu akan mengundi menentang Umno?

“Dan, adakah sesiapa terfikir apa yang terjadi pada 2008 (pilihan raya umum) akan terjadi kepada Dr Mahathir, Muhyiddin dan Shafie Apdal (Presiden Warisan dan bekas menteri pembangunan luar bandar) akan tinggalkan Umno dan melawan BN?

“Orang Melayu malu dengan perdana menteri Melayu mereka (Najib), pemimpin paling korup di dunia.

Liew juga melahirkan kebimbangan PAS boleh boleh menjadi “pengacau” di mana-mana pertembungan tiga penjuru di kerusi pelbagai etnik.

“Kebanyakan orang fikir PH akan kalah di mana-mana pertembungan tiga penjuru. Ia tak bagus untuk PH.”

Tetapi Liew merasakan ia akan berlaku sebaliknya, malah ia akan memberi kelebihan kepada PH.

“PH akan menangdan Najib akan tinggalkan pertembungan tiga penjuru kerana dia tahu dia tak akan menang.” – 7 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen