ADIK tiri Allahyarham Jamaluddin Mohd Jarjis memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini yang dua daripada anak Allahyarham tidak pernah terlibat dalam ketiga-tiga syarikat sehinggalah bekas anggota Parlimen Rompin itu meninggal dunia pada 2015.
Mohamad Najeb Ali, 55, pengarah jualan Suasa Muhibbah Sdn Bhd dalam pernyataan saksinya berkata sebelum Jamaluddin meninggal, anak perempuannya Nur Anis (defengan pertama) langsung tidak berada di Malaysia dan bekerja di Boston, Amerika Syarikat.
Sementara itu, defendan kedua Ikwan Hafiz Jamaluddin berkhidmat sebagai pengurus di General Electric Company, Malaysia, kata beliau dan menambah dua orang lagi anak Allahyarham, Nurul Alyaa dan Noor Adilla tidak memainkan peranan penting dalam menguruskan ketiga-tiga syarikat.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Pawancheek Marican yang mewakili ibu Jamaluddin, Aminah Abdullah yang memfailkan saman terhadap dua cucunya berhubung kegagalan memasukkan saham tiga buah syarikat dianggar bernilai RM1.3 bilion ke dalam senarai harta pusaka anaknya.
Najeb, selaku saksi pertama plaintif berkata kedua-dua defendan memegang saham itu semata-mata sebagai pemilik berdaftar, bukan sebagai pemilik benefisiari.
Pawancheek bertanya kepada saksi sama ada dia bersetuju dengan kenyataan pembelaan yang dipinda menyatakan defendan dilantik sebagai pengarah dalam ketiga-tiga syarikat - Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Wawasan Sdn Bhd apabila mereka mempunyai 100% pemilikan Rantai Wawasan?
Saksi itu berkata, “Saya hanya bersetuju apabila defendan memegang 100% kepentingan sebagai pemegang saham berdaftar dalam Rantai Wawasan tanpa pemilikan benefisiari saham-saham tersebut yang sentiasa kekal dengan Allayharham (Jamaluddin)”.
Mengenai perubahan pemilikan korporat yang dibuat oleh defendan selepas mereka memegang saham saham dalam Rantai Wawasan, Najeb berkata ia bercanggah dengan sifat hubungan rapat abangnya dengan ibu yang dikecualikan daripada pembahagian itu.
“Pihak defendan nampaknya mencadangkan bahawa pelan penstrukturan semula korporat tidak termasuk plaintif. Ia tidak masuk akal untuk Allahyarham berbuat demikian kerana dia sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan dan kepentingan ibunya, dari muda hingga beliau meninggal dunia,” kata beliau.
Najeb juga memberitahu mahkamah pada 11 Mac 2009, Nur Anis dan Ikwan Hafiz masing-masing menerima 2.1 juta saham dan 900,000 saham dalam Rantai Wawasan dari Puncak Inisiatif Sdn Bhd dan struktur pemegangan masih sama apabila si mati meninggal dunia pada 4 April, 2015.
Aminah, 85, yang memfailkan saman itu pada 3 Januari, mendakwa Nur Anis, 34, dan Ikwan Hafiz, 32, sebagai pentadbir bersama harta pusaka Jamaluddin, gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat sebagai harta pusaka ke dalam senarai aset dalam surat kuasa mentadbir apabila Jamaluddin meninggal pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.
Dalam kenyataan tuntutannya, Aminah mendakwa kedua-dua defendan gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat itu - Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Wawasan Sdn Bhd - sebagai sebahagian daripada harta pusaka si mati dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingan plaintif sebagai benefisiari harta pusaka si mati.
Plaintif mendakwa kedua-dua cucunya gagal menyatakan anggaran nilai bagi setiap satu saham yang bernilai RM1,384,312,154, dua tahun enam bulan selepas Jamaludin meninggal.
Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz juga gagal memasukkan sebuah apartmen di Amerika Syarikat dengan anggaran nilai RM10 juta ke dalam senarai harta Jamaluddin yang dilampirkan bersama surat kuasa, dan juga gagal memaklumkan kepada plaintif bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan sijil faraid bagi harta pusaka Jamaluddin pada 6 Oktober 2016.
Aminah memohon perintah mahkamah bagi namanya dimasukkan dalam sebagai pentadbir bersama harta pusaka Jamaluddin kerana beliau merupakan ibu kandung yang sah kepada si mati dan menuntut kedua-dua defendan membayar dividen, bonus dan keuntungan daripada pegangan saham dalam ketiga-tiga syarikat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Firuz Jaffril bersambung pada 10 September. – Bernama, 15 Ogos, 2019.
Komen