TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki akan kembali bertugas pada 22 Ogos depan selepas cuti sakit sejak bulan lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang mengesahkan berita itu turut menegaskan tiada pegawai baru yang akan menggantikan tugas Azam.
“Beliau sudah dibenarkan pulang dari hospital malah beliau datang ke pejabatnya hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Latheefa berkata demikian selepas sebuah portal berita melaporkan perubahan akan berlaku dalam kepimpinan tertinggi SPRM susulan cuti sakit Azam selepas dimasukkan ke Hospital Putrajaya bulan lalu dan menganggapnya sebagai laporan tidak berasas sama sekali.
Menurut sumber, Azam mengalami masalah kegagalan satu buah pinggang namun selepas menjalani pembedahan, pegawai kanan itu beransur pulih.
“Beliau sudah stabil selepas menjalani pembedahan cuma tidak ramai yang dibenarkan melawat kerana doktor risau akan berlaku jangkitan kuman,” katanya. – 15 Ogos, 2019.
Komen