Ketua polis Besut putus ibu jari ditetak lelaki masalah mental


KETUA Polis Daerah Besut, Terengganu, Mohd Zamri Mohd Rowi putus ibu jari kanan dan cedera di bahagian belakang kepala akibat ditetak seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental dalam kejadian di depan rumahnya di Kampung Padang Luas, Besut, pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Ketua Polis Terengganu Aidi Ismail berkata sehubungan itu polis menahan suspek berkenaan pada pukul 4.15 petang ini di Felda Selasih, Besut selepas cuba melarikan diri.

“Ketika kejadian mangsa didatangi oleh suspek berumur 32 tahun yang juga jiran mangsa yang mengadu mangsa menaman pokok kelapa di kawasan tanah miliknya.

“Mangsa tidak melayan dan menyuruh suspek balik namun suspek ke kereta dan membawa keluar sebilah parang panjang dan menetak mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan Hospital Kubang Kerian di Kota Baru,  hari ini.

Akibat kejadian itu, Zamri, 55, mengalami kecederaan dibahagian belakang kepala dan putus ibu jari tangan kanan.

Aidi berkata mangsa sebelum itu cuba untuk mengelak namun suspek sempat menetak di bahagian kepala sehingga suspek terjatuh dan berlaku pergelutan.

“Susulan itu suspek melibas parangnya dan terkena ibu jari kanan sehingga putus. Mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil dan masih dirawat di HUSM,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu polis Terengganu menjalankan siasatan dan mendapati mangsa mempunyai masalah mental.

“Sebelum ini suspek pernah mengadu kepada mangsa dengan mendakwa rumahnya diserbu oleh pihak polis, namun dakwaan itu tidak betul.

“Kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama, 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen