Perancis buka siasatan kes kematian Nora Anne


Nora Quoirin hilang di The Dusun di Negeri Sembilan, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk ke resort itu pada 3 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2019.

PEJABAT pendakwa raya Paris membuat siasatan jenayah berhubung kematian Nora Anne Quoirin, lapor Reuters.

Pendakwa raya Perancis biasanya melancarkan siasatan terhadap kes membabitkan warga Perancis di luar negara.

Ibu Nora berasal dari Belfast sementara bapanya rakyat Perancis.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop enggan mengulas berkenaan siasatan Perancis.

Peguam keluarga remaja itu, Sankara N. Nair sebelum ini menggesa polis Malaysia untuk menerima tawaran Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian untuk membantu siasatan berhubung apa yang berlaku sehingga membawa kepada kematian Nora.

“Ia cadangan yang baik. Saya harap polis akan menerima bantuan itu,” kata Nair kepada Reuters. 

Mayat Nora ditemui pada Selasa, 10 hari selepas kehilangannya dari resort di Seremban, kira-kira 70km dari Kuala Lumpur.

Mayatnya yang tidak berpakaian ditemui di satu lurah, kira-kira 2.5km dari resort The Dusun, di mana mangsa dilaporkan hilang sehari selepas keluarganya tiba dan mendaftar masuk di situ untuk bercuti pada 3 Ogos.

Keluarganya bimbang wujud unsur jenayah terhadap kehilangannya, berkata remaja itu berkeperluan khas dan tidak pernah keluar tanpa keluarga.

Polis Malaysia dijangka mendedahkan laporan bedah siasat hari ini. – 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen