Belajar Jawi di sekolah vernakular dengan izin PIBG


Jawi hanya akan diajar di sekolah vernakular sekiranya mendapat kelulusan PIBG. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2019.

JEMAAH Menteri memutuskan pembelajaran Jawi hanya akan dilaksana di sekolah vernakular dengan izin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kata Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun Kabinet hari ini memutuskan ia akan diteruskan seperti biasa di sekolah kebangsaan, menurut satu kenyataan kementerian.

Ia turut menyatakan, sukatan pelajaran itu juga hanya kekal dengan nama pengenalan tulisan Jawi dan bukannya khat.

Selain itu, Kabinet memutuskan pembelajaran itu hanya melibatkan tiga halaman dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 dan tidak akan diuji dalam peperiksaan.

Mesyuarat Kabinet memutuskan demikian hari ini susulan penentangan daripada NGO pendidikan Cina dan juga kalangan pemimpin Pakatan Harapan.

Paling keras adalah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menganggap pembelajaran itu sebagai proses Islamisasi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Dong Zong rasis kerana menentang sukatan pelajara itu.

Seorang menteri Bersatu, Mohd Redzuan Yusof pula berkata, sikap ditunjukkan Dong Zong itu berlarutan kerana orang Melayu berlembut dengna kumpulan kaum rasis.

Menurutnya, penentangan ke atas pembelajaran Jawi juga menunjukkan golongan itu tidak hormat penggunaan bahasa kebangsaan. – 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen