UMNO menyaman tiga ahlinya yang keluar parti untuk menyertai Bersatu atas tuduhan pecah amanah, melanggar kontrak, pengkayaan tak patut dan juga atas kepentingan parti itu.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight writ saman difailkan semalam terhadap Mustapa Mohamed, Hamzah Zainudin dan Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga ahli Parlimen.
“Ya, writ saman difailkan semalam terhadap Mustapa (Jeli), Ikmal (Tanah Merah) dan Hamzah (Larut) di mahkamah,” kata sumber.
Dokumen dilihat The Malaysian Insight juga menunjukkan writ untuk Hamzah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara Mustapa dan Hisham difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Baru.
Dokumen itu menunjukkan tindakan berkenaan dilakukan oleh Setiausaha Eksekutif Umno Mohd Sumali Reduan bagi pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).
Tarikh belum ditetapkan untuk kes itu.
Awal tahun ini, Hamzah (bekas menteri di bawah BN) dan Ikmal bersama empat lagi ahli Parlimen – Abdul Latif Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu) keluar Umno untuk menyertai Bersatu.
Mustapa bersama Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin turut lompat parti pada 2018.
Dengan kemasukan tujuh ahli Parlimen itu, Bersatu kini ada 22 wakil dalam Dewan Rakyat, naik daripada 13 kerusi yang dimenangi pada PRU14, 9 Mei tahun lalu. – 14 Ogos, 2019.
Komen