PERBICARAAN kes SRC International ditangguhkan susulan bekas perdana menteri Najib Razak diberikan cuti sakit tiga hari selepas dijangkiti sakit mata.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan peguam Najib memberitahu Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bahawa seorang doktor menasihatkan anak guamnya dikenakan kuarantin sehingga Jumaat.
“Pagi ini jam 7.45 pagi saya terima panggilan daripada Najib yang kedengaran tidak berapa sihat dan memberitahu dia terkena jangkitan di kedua-dua mata,” katanya.
Shafee berkata, gambar sijil perubatan dan keadaan Najib ditunjukkan kepada pendakwa raya V Sithambaram.
“Di pihak pendakwa, saya mengesahkan keadaan mata Najib sangat teruk. Pihak pendakwaan menyokong permohonan penangguhan,” katanya.
Ditanya sama ada Najib boleh pulih dalam tempoh 48 jam Shafee berkata doktor menasihatkan dia tidak bersentuhan dengan sesiapa kerana keadaannya berjangkit.
Nazlan berkata, memandangkan alasan untuk memohon penangguhan atas alasan perubatan dan pihak pendakwaan tidak membantahnya.
“Mahkamah tidak mempunyai pilihan dan perbicaraan ditangguhkan serta bersambung pada Isnin,” katanya.
Shafee berkata pihak peguam bela masih memerlukan masa dua hari untuk menyoal balas semula saksi terakhir pendakwaan, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain.
Perbicaraan SRC International yang bermula 3 April lepas sepatutnya berakhir Jumaat ini dan perbicaraan 1MDB bermula pada 19 Ogos sehingga 14 November. – 14 Ogos, 2019.
Komen