PENDAKWAH kontroversi Dr Zakir Naik menolak tuduhan yang beliau mencetuskan kekacauan agama dalam kalangan rakyat Malaysia dengan berkata pengkritiknya memetik kenyataannya di luar konteks untuk memfitnahnya.
Zakir berkata beliau sebenarnya memuji Malaysia atas cara Islamiknya yang tulen dalam cara menyantuni penganut Hindu minoriti dan dalam menjunjung hak mereka, sesuatu yang kerajaan India gagal lakukan kepada masyarakat minoritinya.
Penceramah popular itu berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan diterimanya susulan ceramahnya dalam beberapa program dianjurkan kerajaan negeri Kelantan di mana beliau bercakap tentang topik “Al-Quran – Jalan Menuju Kebahagiaan”, “Salah Tanggapan tentang Islam” dan “Islamofobia”.
“Tuduhan yang dilaporkan dalam media tidak tepat dan bertujuan mempolitikkan saya dan mencetuskan ketidakharmonian agama dalam masyarakat.
“Rakaman ucapan saya akan mendedahkan bahawa ia sebaliknya bercanggah daripada apa yang didakwa. Selepas ceramah saya tentang ‘Salah tanggapan tentang Islam’, saya ditanya satu soalan khusus daripada penonton tentang isu di Kashmir dan nasib Muslim di India.
“Dalam jawapan saya, saya sebenarnya memuji Malaysia dan kerajaannya dalam cara ia melayan masyarakat minoriti Hindu dan memberikan mereka hak, di mana kerajaan India gagal berbuat demikian kepada masyarakat minoriti Islam di India.
“Berkenaan pendakwaan terhadap saya oleh kerajaan Modi, pendirian saya sangat kategori. Saya mendapati ia tidak adil apabila sesetengah kumpulan Hindu di Malaysia nampak mempercayai kerajaan Modi lebih daripada Interpol, atau mahkamah India, atau kerajaan Malaysia sendiri.
“Pujian saya terhadap kerajaan Malaysia atas keislamannya dan layanan adil terhadap minoriti Hindu diputar belit dan disalah petik untuk disesuaikan dalam kepentingan politik dan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat,” kata Zakir dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kejayaan program tiga harinya di negeri ditadbir PAS tidak diterima baik oleh kumpulan yang tidak menyukainya, menambah penonton kebanyakannya lelaki dan wanita Islam mendapati tidak ada yang tidak kena dengan ceramahnya dan sesi soal jawab.
“Namun, pengkritik saya memerlukan lebih tiga hari untuk mencipta isu yang tidak ada apa-apa. Sebarang cubaan mencipta ketegangan dalam masyarakat adalah tidak adil terhadap rakyat Malaysia dan saya pasti cubaan ini gagal,” katanya.
Pengkritik Zakir menuduhnya mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di negara ini menerusi beberapa ucapannya di Kelantan baru-baru ini. – 14 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen