LANGSUNG: Pegawai penyiasat SPRM kembali memberi keterangan


Bede Hong Timothy Achariam

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain akan kembali memberi keterangan dalam perbicaraan SRC International Najib Razak yang memasuki hari ke-53 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2019.

SAKSI ke-57 dan yang terakhir, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain akan kembali memberi keterangan dalam perbicaraan SRC International Najib Razak yang memasuki hari ke-53 hari ini.

Rosli dijangka memberi keterangan berdasarkan dokumen yang disita oleh Bank Negara semasa serbuan di AmBank cawangan Raja Chulan di Kuala Lumpur pada 5 Julai 2015.

Bank itu memegang akaun peribadi Najib dan akaun syarikat SRC International.

Ketika diteliti oleh pendakwa raya semalam, Rosli memberitahu mahkamah bahawa ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil berjanji kembali ke Malaysia serta membantu siasatan selepas kenyataannya diambil di luar negara.

Low disoal siasat di Abu Dhabi pada 27 November 2015 manakala Nik Faisal disoal siasat dua kali di Jakarta pada Oktober 2015.

Low telah meninggalkan Malaysia pada 29 Mei 2015 manakala Nik Faisal meninggalkan negara itu pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum pilihan raya umum ke-14.

Kedua-dua mereka disenaraihitamkan perjalanan pada 14 Mei tahun lepas dengan waran tangkap dikeluarkan pada 22 Mei.

Notis pemberitahuan Interpol dikeluarkan pada 11 Jun 2018 untuk kedua-dua mereka dan suspek berkaitan SRC International Redzuan Adamshah serta Toh Lean Seng.Pasport mereka dibatalkan pada 14 Jun 2018.

SPRM juga mengeluarkan waran tangkap dan mengingatkan Interpol untuk mengeluarkan notis merah kepada rakan sekutu Low, bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang dan Jasmine Loo.

Geh dan Tang meninggalkan Malaysia pada malam pilihan raya umum ke-14 pada 8 Mei 2018 manakala Loo pada 17 Mei 2018.

Tan keluar negara pada 12 Mei 2015, dua minggu sebelum Low melarikan diri.

Rosli memberitahu mahkamah notis merah dikeluarkan di negara-negara termasuk Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Myanmar dan China.

Pertuduhan ke atas Najib berkaitan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012 di mana beliau dituduh menerima RM42 juta yang dimasukkan ke akaunnya pada 2014 dan 2015.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Najib diwakili pasukan pembelaan yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan. 

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung: 

9.45am: Shafee memberitahu mahkamah bahawa Najib tidak hadir kerana sakit mata dan telah diberikan sijil cuti sakit sehingga Jumaat.

Sithambaram berkata beliau telah diberikan gambar mengenai keadaan dan sijil cuti sakit Najib.

9.40am: Prosiding telah ditangguhkan kerana Najib tidak berada di mahkamah.

Tetapi peguamnya Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram hadir. – 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen