PENDAFTAR Pertubuhan (RoS) mempunyai empat alasan kenapa ia mahu membatalkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) antaranya kerana tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan 2018 pada tempoh yang ditetapkan, dan melanggar perlembagaannya sendiri.
DPMM juga gagal mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada tahun yang sama, kata RoS.
DPMM juga berdepan tindakan setelah didakwa tidak mendapat kelulusan majlis eksekutif dewan dalam urusan melibatkan dana RM5 juta daripada kerajaan di bawah Barisan Nasional, yang diterimanya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Semua alasan itu terkandung dalam notis RoS kepada DPMM sebagai kenyataan sebelum pendaftaran dibatalkan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966, yang dilihat The Malaysian Insight.
“Adapun cadangan pembatalan pendaftaran yang dimaksudkan di atas adalah kerana pertubuhan ini telah dengan bersengaja melanggar peruntukan undang-undang berdaftar pertubuhan,” kata notis itu.
Satu lagi alasan tindakan ke atas DPMM ialah ia memecat ahlinya tanpa mengikut peraturan.
Notis bertarikh 31 Julai ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim.
Melalui surat itu, DPMM diberi masa 30 hari untuk mengemukakan sebab munasabah kenapa ia tidak patut dibatalkan.
Setiausaha Agung DPMM Don Nazwin Don Najib sebelum ini dipetik oleh Free Malaysia Today mengesahkan DPMM digantung pendaftarannya oleh RoS pada awal bulan ini.
Notis penggantungan itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu namun tidak menyebut sebab DPMM digantung.
“Bagi menjaga kepentingan DPMM daripada terus melanggar peraturan pertubuhan, maka diperintahkan semua kegiatan pertubuhan ini digantung mulai 31 Julai 2019,” kata notis berkenaan.
DPMM sebelum ini dilaporkan mengalami konflik dalaman yang serius apabila 18 orang bekas ahlinya, termasuk timbalan presiden didakwa menggunakan nama pertubuhan itu secara haram dan tidak sah.
DPMM bergolak gara-gara RM5 juta yang diterimanya daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum PRU14 kononnya untuk program bersama komuniti usahawan di seluruh Malaysia.
Dana itu bagaimanapun didakwa dilencongkan ke Yayasan DPMM Pulau Pinang Bhd, yang diketuai oleh presiden DPMM pada masa itu, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.
Kedudukan dana RM5 juta itu kini menjadi pertikaian di mahkamah selepas sekumpulan pemimpin DPMM memfailkan tindakan undang-undang terhadap Rizal Faris dan Don Nazwin.
Dana RM5 juta menyebabkan DPMM terbelah dua sehingga ada dua jawatankuasa pimpinan, yang masing-masing mendakwa mereka adalah barisan yang sah dan ada kuasa mengikut undang-undang dan perlembagaan.
Rizal Faris, presiden yang dipilih untuk sesi 2018-2019 mewakili kumpulan pertama, kini bertembung dengan barisan kepimpinan Syed Hussein Alhabshee, yang juga bekas timbalannya.
Syed Hussein mendapat sokongan sembilan daripada 15 cawangan negeri yang menyertai mesyuarat agung tahunan pada 15 Jun lalu.
Rizal Faris sebelum ini menafikan tuduhan pihaknya menyelewengkan dana RM5 juta, seperti didakwa.
Katanya, dana itu peruntukan untuk membangunkan satu aplikasi perniagaan atas talian yang dikenali sebagai “Go 4.0”. – 14 Ogos, 2019.
Komen