LOW Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil memberi jaminan kepada pegawai agensi anti rasuah bahawa mereka akan balik ke Malaysia untuk memberi kerjasama dalam perbicaraan, kata saksi.
Kedua-dua individu itu meyakinkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan kepada agensi itu di luar negara pada 2015, menurut pegawai penyiasat SPRM Rosli Husain.
SPRM merekod keterangan Low pada 27 November 2015, beberapa bulan selepas pihak berkuasa mula menyerbu premis di Kuala Lumpur berhubung siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Rosli berkata pegawai-pegawai SPRM merekod keterangan ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang itu di Abu Dhabi. Rosli tidak menjelaskan mengapa Low berada di Abu Dhabi.
Saksi itu juga memberitahu mahkamah Low meninggalkan Malaysia pada 29 Mei 2015. Pada 5 Julai tahun sama, Bank Negara Malaysia menyerbu pejabat AmBank dan premis SRC International.
Pada 17 Oktober 2015, pegawai SPRM berjaya merekod keterangan Nik Faisal sebanyak dua kali di Jakarta, tambah Rosli.
“Oleh kerana kedua-dua mereka telah merekodkan kenyataan mereka dan mereka memberikan komitmen mereka, kami yakin mereka akan kembali ke Malaysia untuk bekerjasama dalam perbicaraan ini,” kata Rosli ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Isyak Mohd Yusof mengapa SPRM tidak mengenakan jaminan terhadap Low dan Nik Faisal.
Pada 14 Mei tahun lalu, SPRM meminta Jabatan Imigresen meletakkan Low dan Nik Faisal dalam senarai hitam perjalanan, dan waran dikeluarkan pada 22 Mei. – 13 Ogos, 2019.
Komen