SEORANG ejen pengintipan FBI membantu mengagalkan satu plot militan yang mensasarkan jaringan keretapi bawah tanah New York dan Times Square, lapor pihak berkuasa ketika mendedahkan butiran pendakwaan pada Jumaat.
Tiga orang didakwa kerana terlibat dalam rancangan serangan itu yang dijadualkan dilakukan atas nama Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) pada bulan Ramadan 2016.
Serangan di dewan konsert Bataclan, Paris pada 2015 dan metro Belgium pada 2016 menjadi sumber inspirasi rancangan di New York itu.
IS mendakwa bertanggungjawab ke atas kedua-dua serangan itu.
Abdulrahman El Bahnasawy, pemuda berusia 19 tahun dari Kanada yang membeli bahan untuk membuat bom ditahan ketika sampai di AS mengaku bersalah untuk dakwaan “kesalahan berkaitan keganasan,” kata kenyataan itu.
Talha Haroon, 19, rakyat Amerika yang tinggal di Pakistan didakwa merancang untuk terlibat dalam serangan itu sementara Russell Salic dari Filipina, 37, didakwa membiayai operasi itu.
Plot itu digagalkan dengan bantuan seorang ejen pengintipan FBI yang menyamar sebagai penyokong IS berkomunikasi dengan ketiga-tiga lelaki itu.
Haroon dan Salic ditahan di luar negara dan sedang menunggu ektradisi ke AS.
“El Bahnasawy dan Haroon mengenalpasti pelbagai lokasi dan acara di sekitar New York sebagai sasaran serangan termasuklah sistem keretapi bawah tanah New York, Times Square dan beberapa tempat konsert,” kata kenyataan itu.
El Bahnasawy menghantar gambar Times Square kepada ejen FBI itu mengatakan yang “kita benar-benar perlukan bom kereta” untuk melakukan serangan dan dia mahu “menyerang konsert kerana dapat membunuh ramai orang.”
Haroon pula memberitahu ejen itu yang keretapi bawah tanah merupakan sasaran “sempurna” dan jaket bunuh diri boleh diletupkan.
Salic juga berhubungan dengan ejen FBI itu dan menghantar “kira-kira AS$423” untuk membiayai serangan itu dan berjanji menghantar lebih banyak lagi, menurut pendakwa raya.
New York adalah sasaran tragedi 11 September, 2001 yang membunuh hampir 3,000 orang dan menyebabkan AS melancarkan “perang memerangi keganasan” termasuklah menakluk Afghanistan dan Iraq serta pelbagai operasi ketenteraan di pelbagai negara.
Serangan terbaru di New York berlaku pada September 2016 apabila bom periuk tekanan meletup di kejiranan Chelsea mencederakan 29 orang. – AFP, 7 Oktober, 2017.
Komen