ISU khat Jawi yang memecah-belahkan rakyat Malaysia membuktikan perlunya kaedah komunikasi yang lebih berkesan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Katanya lagi, berbanding membina tembok untuk memisahkan kita, perbezaan pandangan ini perlu ditangani dan dibincangkan.
“Saya rasa kita perlu lebih berkomunikasi dan bukannya membina tembok. Hanya dengan itu kita akan melihat hormat dan pemahaman bersama yang lebih dalam masyarakat kita,” katanya di Putrajaya hari ini selepas menghadiri majlis pelancaran Pendidikan Sivik untuk sekolah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang label “rasis” diberikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Dong Zong kerana bantahan kumpulan itu ke atas usaha Putrajaya memperkenalkan seni khat Jawi kepada pelajar sekolah vernakular.
Dr Mahathir memberikan label itu kerana menurutnya, Dong Zong sering kali menentang usaha dasar pendidikan kebangsaan diperkenalkan kerajaan, termasuklah pelaksanaan Sekolah Wawasan dahulu.
Susulan penentangan hebat itu, kerajaan sudah memutuskan untuk mengurangkan jumlah muka surat pengajaran Jawi pelajar Tahun 4 kepada tiga berbanding enam sebelum ini dan menjadikan pengajarannya sebagai satu pilihan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau tetap akan membangkitkan isu itu pada mesyuarat Kabinet dijadualkan berlaku esok.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang turut menghadiri majlis di Putrajaya hari ini pula enggan mengulas rancangan DAP untuk menyemak semula pengajaran Jawi itu.
“Saya menteri (daripada) Bersatu, bukan DAP. Awak perlu tanya menteri DAP dalam Kabinet,” katanya. – 13 Ogos, 2019.
Komen