Sabah tidak ada ketua hakim Syariah sejak April


Jason Santos

Sejak April lalu, Ketua Hakim Syariah Sabah yang baharu dilantik Ahmad Lazim masih belum dipindahkan ke negeri itu menyebabkan kes rayuan, prosiding dan kemasukan peguam baharu tertangguh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Syariah Sabah bergelut dengan timbunan kes rayuan dan permohonan yang tertangguh kerana ketiadaan ketua hakim Syariah yang sudah masuk bulan keempat.

Peguam Syariah di negeri itu memberitahu The Malaysian Insight yang kerajaan negeri sudah melantik ketua hakim baharu tetapi beliau yang sepatutnya memulakan tugas pada 1 April lalu sehingga sekarang masih belum berpindah ke Sabah.

Hakim tersebut, Ahmad Lakim masih mengendalikan kes di Melaka.

“Pada 17 Mei, kerajaan melantik Ahmad Lakim sebagai ketua hakim Syariah Sabah. Pelantikan itu diumumkan menerusi gazet kerajaan negeri pada 27 Jun.

“Bagaimanapun, sehingga sekarang ketua hakim itu belum berada di Sabah.

“Sebaliknya, beliau berada di Melaka sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sana,” kata Peguam Syariah Hamid Ismail.

Tanpa ketua hakim, semua rayuan dan permohonan prosiding di Mahkamah Rayuan Sabah tidak boleh diteruskan kerana pelantikan panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah memerlukan cadangan Majlis Ulama Sabah dan ketua hakim negeri itu.

“Jika ketua hakim Sabah tidak berada di Sabah untuk menjalankan tugasnya, cadangan itu tidak boleh dibuat. Kesannya, korum panel Mahkamah Rayuan Sabah tidak boleh dibentuk,” katanya.

Selain itu, pelantikan ketua hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang baharu tidak boleh dibuat kerana ia memerlukan cadangan ketua hakim Syariah, tambah Hamid lagi.

Situasi itu juga menjejaskan penerimaan masuk peguam Syariah baharu.

“Sabah tidak ada peraturan bertulis untuk kawal selia kemasukan dan pelantikan peguam Syariah. Menurut Seksyen 32 (2) Enakmen Mahkamah Syariah 2004, hanya ketua hakim Syariah negeri boleh membuat peraturan itu.

“Tanpa peraturan itu, kemasukan peguam Syariah di Sabah dan penerimaan mereka adalah berdasarkan peraturan tidak bertulis,” jelasnya.

Menurut Hamid lagi, Sabah adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mempunyai peraturan untuk mengawal selia kemasukan peguam dan ia berbahaya kerana ia boleh menyebabkan salah guna dalam proses kemasukan peguam Syariah di negeri itu.

“Sejak April, tidak ada kemasukan peguam Syariah baharu di Sabah,” katanya.

Seorang lagi peguam Syariah, Amin Tenreng dari Tawau juga berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu itu, menambah mungkin wujud masalah sehingga menghalang ketua hakim Syariah baharu menjalankan tugasnya.

“Melanggar undang-undang jika beliau dihalang menjalankan tugasnya. Mahkamah Syariah adalah bidang kuasa negeri dan ia jelas termaktub dalam Perlembagaan,” katanya. – 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen