HAMPIR 2,000 orang yang menghidap penyakit tanpa penyembuh dibantu untuk mati oleh doktor dalam tahun pertama sejak Kanada membenarkan bunuh diri dibantu ahli perubatan, menurut laporan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Sejak Ottawa meluluskan undang-undang itu pada Jun 2016 sehingga 30 Jun 2017, sudah terdapat 1,982 orang membunuh diri menerusi peruntukan itu, menurut laporan Kesihatan Kanada.
Kebanyakan yang terlibat menghidap kanser, lapor agensi itu.
Berdasarkan data yang dikutip untuk separuh tahun pertama 2017, jumlah itu dijangka meningkat tetapi masih kurang berbanding kematian disebabkan punca lain di seluruh negara—“konsisten dengan dapatan antarabangsa,” kata laporan itu lagi.
Bunuh diri dibantu doktor di Kanada hanyalah diperuntukan untuk mereka yang menghidapi masalah kesihatan serius yang mahu menamatkan penderitaan mereka dan dilakukan menerusi suntikan beracun di hospital atau di rumah pesakit.
Tidak lama selepas ubdang-undang diubah membenarkan amalan itu, ia dicabar di mahkamah dalam cubaan untuk memasukkan rakyat Kanada yang menderita penyakit kronik tetapi tidak mengancam nyawa.
Gereja Kanada mengarahkan paderi mereka menolak menjalankan pengebumian agama kepada mereka yang memilih melakukan bunuh diri dibantu doktor. – AFP, 7 Oktober, 2017.
Komen