KELUARGA kepada arwah Syed Muhammad Danial Syed Syakir, meminta agar orang ramai tidak mengambil kesempatan kes pergaduhan yang menyebabkan kematian pengurus bank tersebut.
Bapa mertua mangsa Mohd Rozhan Ramlee berkata mereka menghargai segala bantuan yang ingin disalurkan tetapi menolak sebarang perbuatan mengambil kesempatan ke atas isu itu.
“Bagi saya kalau mahu bantu amat dialu-alukan namun jangan ambil kesempatan terhadap insiden ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menyatakan demikian kerana banyak daripada individu yang mendakwa sebagai saksi kes kemalangan dan pergaduhan yang membawa kepada kematian menantunya.
“Bagaimanapun, banyak alasan diberikan termasuk mahu jumpa saya dahulu apabila meminta mereka untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.
Kes kematian itu kini hangat ditularkan di media sosial dengan mengaitkan isu perkauman, sehingga menyebabkan polis mengeluarkan amaran agar tidak berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Mohd Rozhan berkata dua orang anaknya juga dipanggil polis untuk membantu siasatan bagi kes bunuh itu.
Katanya, dua orang anaknya, Azraei Arief, 22 dan Zafri Amir, 19, merupakan antara yang paling awal tiba di kawasan kemalangan itu.
“(Zafri) membawa allahyarham ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dibawa ke Nilai Medical Centre kerana klinik berkenaan tutup.
“Azraei yang turut ada bersama beri bantuan pernafasan kecemasan kepada menantu ketika dalam perjalanan ke Nilai Medical Centre,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kedua-dua orang anaknya itu dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan kes kes itu.
Syed Muhammad Danial dilaporkan maut dalam pergaduhan dengan seorang lelaki selepas terlibat dalam kemalangan dengan individu tersebut di Lebuh Raya Utara Selatan pada Sabtu lalu.
Menurut polis, mangsa didapati memukul kereta suspek menggunakan kayu besbol sebelum dilanggar oleh suspek berusia 40 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat turut mengesahkan beberapa saksi kejadian sudah tampil memberi keterangan kepada polis berhubung kemalangan itu.
“Ada antara saksi berkenaan tampil sukarela dan ada juga diminta tampil membantu siasatan. Akan ada lagi saksi akan membantu siasatan kes berkenaan.
“Kita sudah rakam percakapan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre selepas kejadian.
Syed meninggalkan seorang isteri, Qistina Ayu Mohd Rozhan, 28 dan seorang bayi perempua, Sharifah Dian yang berusia empat bulan.
Kes kematian Syed Muhammad Danial kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh. – 12 Ogos, 2019.
Komen