DUA kanak-kanak yang melecur dalam kejadian sebuah tadika dibakar di Brazil semalam, meninggal dunia ketika masih menjalani rawatan di hospital, menjadikan jumlah kematian kepada lapan orang.
Cecilia Davine Dias dan Yasmin Medeiros Salvino, kedua-duanya berusia empat tahun, meninggal dunia petang semalam, kata jurucakap hospital di Monte Claros, bandar di tenggara Brazil.
Tragedi kebakaran itu berlaku pada pagi Khamis, di Janauba pekan yang didiami 70,000 orang kira-kira 600km dari Belo Horizonte, ibu kota Minas Gerais.
Seorang pengawal keselamatan menyimbah alkohol ke arah kanak-kanak di tadika itu sebelum membakar bangunan berkenaan. Dia sendiri mati akibat melecur beberapa jam kemudian.
Menurut pihak berkuasa, penyerang itu mengalami masalah mental sejak 2014.
Secara keseluruhan, tujuh kanak-kanak berusia empat tahun maut, bersama seorang guru berusia 43 tahun. Seramai 40 lagi mangsa dirawat di tiga hospital di wilayah itu.
Ratusan orang berkumpul pada upacara pengebumian kumpulan mangsa pertama di tapak perkuburan di Janauba petang semalam.
Deretan keranda kecil berwarna putih dibuka beberapa minit dan ahli keluarga kelihatan menangis.
“Apa yang berlaku ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bila saya dengar berita kebakaran itu di radio, saya serta-merta teringat cucu saya,” kata Antonio Pereira da Silva, yang kehilangan cucu perempuannya dalam kebakaran itu.
Datuk bandar Janauba mengumumkan tujuh hari berkabung, sementara Presiden Brazil Michel Temer meluahkan solidaritinya bersama mangsa tragedi itu. – AFP, 7 Oktober, 2017.
Komen