Menteri umum RM90 juta tapi Feri Pulau Pinang masih di takuk lama


Zaim Ibrahim

Penumpang Feri Pulau Pinang kesal kerana masih bersesak-sesak pada waktu puncak kerana kekerapan feri masih tidak berubah dan kemudahan yang disediakan juga tidak bertambah baik. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2019.

PERKHIDMATAN Feri Pulau Pinang masih di takuk lama walau selepas menerima suntikan dana RM90 juta dan operasinya diambil alih Prasarana Malaysia Bhd, kata pengguna.

Mereka kesal kerana masih bersesak-sesak pada waktu puncak kerana kekerapan feri masih tidak berubah dan kemudahan yang disediakan juga tidak bertambah baik.

Setiap hari, hanya tiga buah feri berulang-alik membawa 3,000 pengguna di antara Pangkalan Raja Uda di Georgetown dan Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

Menurut mereka, kerajaan sepatutnya sudah menambah jumlah feri bagi membantu kesesakan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang selepas setahun mengumumkan dana untuk projek itu.

Mereka kecewa apabila feri tiba lewat daripada dijadualkan dan ini menyebabkan pertambahan penumpang, kata seorang pegawai bank, Jamilah Ariffin.

Pengguna setia Feri Pulau Pinang itu berkata, beliau mendapati kesesakan lebih terasa pada setiap hari Isnin dan hari terakhir bekerja setiap minggu.

“Feri sememangnya perlu ditambahkan lebih-lebih lagi waktu puncak. Tetapi pada waktu puncaklah feri datang lewat,” katanya yang menggunakan perkhidmatan itu sejak 10 tahun lepas.

Pada tahun ini sahaja, beliau mendapati perkhidmatan feri itu sudah banyak kali lewat lebih 30 minit, katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Seorang pekerja hotel, Sara Nadajan, 45 juga berpendapat perkhidmatan feri itu sepatutnya lebih kerap antara jam 6 hingga 10 pagi dan antara jam 4 hingga 7 petang.

“Waktu itu tambahlah feri. Selepas itu nak kurang pun tidak apa. Kemudian, petang tambah semula,” jelasnya yang setia menggunakan feri sejak enam tahun lepas.

Selain feri dan Jambatan Pulau Pinang, pengguna juga boleh menyeberang dengan jambatan kedua yang siap dibina pada 2014, yang menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan.

Namun bagi golongan pekerja ini, feri masih lagi menjadi pilihan kerana perjalanan merentas Selat Melaka dengan vesel tersebut hanya mengambil masa 20 minit.

Kata Sara, beliau mahu mengelak kesesakan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang tetapi disebabkan kekurangan feri, beliau perlu menunggu lama dan beratur panjang.

Seorang penunggang motosikal, Muhammad Azam Md Eusoff pula berkata beliau tidak melihat sebarang perubahan dilaksanakan bagi menaik taraf perkhidmatan feri.

Jelasnya, penunggang motosikal paling terkesan kerana bumbung yang disediakan di tempat menunggu kecil.

Feri masih lagi menjadi pilihan penduduk di Pulau Pinang kerana perjalanan merentas Selat Melaka dengan vesel tersebut hanya mengambil masa 20 minit. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2019.

“Kalau feri lewat, kadang-kadang kami tunggu sampai satu jam. Bagi penunggang motosikal, kami terpaksa beratur panjang.

“Kalau cuaca panas, berjemurlah kami. Kalau hujan, basahlah kami sebab bumbung yang ada tak muat apabila penunggang motosikal bertambah ramai,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kekerapan feri perlu ditingkatkan terutama pada waktu puncak.

Prasarana melalui anak syarikatnya, Syarikat Rapid Ferry Sdn Bhd mengambil alih operasi feri Pulau Pinang daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

Sebelum itu, perkhidmatan feri berkenaan dikendalikan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sejak 1 Januari 1994.

Peruntukan sebanyak RM90 juta untuk menaik taraf kemudahan perkhidmatan dan pembelian feri baharu itu diumumkan Ogos tahun lepas oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Sebanyak RM21 juta daripada peruntukan itu, akan digunakan pada 2018 dan 2019 untuk memberi feri penumpang baharu, katanya.

Peruntukan itu disalurkan prasarana melalui menerusi Pelan Pembangunan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, yang termasuk dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Pelan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di negeri itu turut meliputi pembinaan terowong bawah laut yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar. – 11 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen